Followers

Sunday, May 23, 2010

Saturday, May 22, 2010

Cerpen : Semanis Redha


Dedikasi buat sahabat-sahabat yang dikasihi, pada mereka yang sedang berdepan dengan ujian dan musibah, pada mereka yang sedang mengutip serpihan sabar dan menggenggam semangat yang tercicir sepanjang perjuangan. Istimewa dari ana buat pembaca, semoga mendapat manfaat... Semoga Allah redha.


**************

Di hening malam, seorang hamba Allah bangun menghidupkan malamnya. Pada rembulan yang menyinar terang di hujung langit, ada bebintang yang turut melirikkan cahaya. Subhanallah, keindahan yang Allah serikan di malam gelita tidak ramai yang mampu menikmatinya. Tatkala manusia berbondong-bondong melayan mimpi indah dan selimut yang menutupi jasad dan hati mereka, ada hati-hati yang digerakkan Allah, ada jiwa-jiwa yang tergerak untuk Allah. Alangkah bahagianya mereka yang sentiasa berusaha mendapatkan cinta dan kasih-sayang Allah.


"Anakku sayang, qiyamullail itu penawar terbaik untuk menggembur iman, menyubur hati, penyeri jiwa yang lemah bahkan menjadi penggerak sendi dan saraf yang bakal menyegarkan jasadmu. Insya Allah, wuduk yang membasahi tubuh di kala hening akan memberi kesegaran buat jasad dan emosi."


Ibu membelai halus jemari Hannan, aku melihat dari sisi. Terasa kehangatan kasih sayang ibu menyusup di celahan jari Hannan. Dari kejauhan tampak bundar matanya bersinar, alhamdulillah. Hannan perlu dimotivasikan bukan sekadar sudut duniawi tetapi rohnya perlu disuntik dan tiada penawar yang paling mujarab selain penawar dari Nya.


"Insya Allah ibu."


*****


Senyuman dilemparkan biarpun tiada seri di wajah. Hambar. Pucat lesi wajahnya sesuai dengan keadaan diri Hannan yang kritikal. Doktor Muhammad Aqil, neorologist terkemuka di Malaysia sudah mengangkat kedua tangan, bukan menyerah pada takdir namun badan Hannan sudah ampuh, tidak lagi memberi reaksi kepada ubat-ubatan dan vitaman yang diberikan malahan semuanya seakan-akan tidak mendatangkan kesan.


"Puan Humaira, Encik Muaz, saya harap encik dan puan akan menerima berita ini dengan berlapang dada. Keadaan Hannan semakin memburuk, pengalaman saya dalam bidang ini... Hannan punya sekitar 2 hingga 3 bulan untuk bertahan."


Ayah dan ibu terdiam, aku memandang keluar tingkap.


'Ya Allah, kurniakanlah kekuatan buat ibu dan ayah.'


"Saya cadangkan Encik Muaz untuk memberi keizinan pihak kami supaya memberi kerehatan buat Hannan." Doktor Muhammad Aqil memandang tepat di muka ayah.


"Kerehatan yang bagaimana?" Ayah menyoal.


"Kami mencadangkan untuk membiarkan Hannan koma seketika sehingga keadaannya stabil. Tekanan darahnya yang meningkat dan menurun secara mendadak mengkhuatirkan saya, kesakitan yang Hannan alami mungkin tidak tertanggung lagi. Dalam keadaan koma, Hannan akan lebih 'rileks' tanpa tekanan menahan sakit." Doktor tua itu memberi cadangan dan penerangan terperinci tentang keadaan Hannan.


"Saya tak setuju!" Ibu dan ayah serentak menjawab.


'Koma?'


Jauh di hati, hiba melihat Hannan mengerang kesakitan namun di sisi hati yang lain masih mengharap sinar mata Hannan akan terus terbuka, sinar di mata Hannan akan memberikan sinar di hati ibu dan ayah juga aku.


"Hannan, jangan mengalah dik... Terus dan terus yakin dengan Allah." Hanani menggenggam erat tangan kembarnya, dialah permata dan ratu di hati, kami sentiasa bersama dari alam rahim sehingga kini. Berpisah dengan Hannan sama seperti sebahagian diriku dibawa pergi.


Setelah keadaan Hannan pulih sedikit, ayah dan ibu meminta keizinan dari doktor agar Hannan di bawa pulang. Kepulangan Hannan jauh lebih baik buat psikologi dan keadaan fizikalnya berbanding hospital. Semoga Hannan tabah menghadapi ujian dari Allah.


*****


Dalam gelap zulumat malam, tergerak kecil jasad lemah itu... Menarik kain yang menyelimuti jasadnya, kakinya di atur perlahan setapak demi setapak langkah. Dalam keadaan lemah dan kesakitan yang menjalar pada setiap saraf, harus dikuatkan hati untuk bangkit. Kaki yang tidak mampu menapak, akhirnya Hannan merangkak perlahan menuju ke tandas. Pintu tandas dikuak perlahan, paip dibuka kecil dan airnya menyoroti bahagian kecil tubuh Hannan.


'Subhanallah, sejuknya.'


Selesai berwuduk, Hannan mengemaskan langkahnya. Biarpun dalam keadaan merangkak, Hannan bersimpuh rapi di hujung sudut kamarnya. Dengan sinaran rembuhan dari celahan jendela menyinari ruang kecil kamarnya. Cicipan sang cengkerik memberi irama yang turut sama menghidupkan malam bersama Hannan.


Gerakan lemah dan perlahan tubuh kecil yang kesakitan itu, solat didirikan dalam keadaan duduk menghadap kiblat.


Dari kamar ibu, terdengar gayungan air membasahi lantai. Barangkali ibu dan ayah juga sedang merapikan diri untuk menghidupkan malam dengan solat berjemaah. Keluarga kecil yang sederhana, beratapkan langit rahmat Ilahi dan berlantaikan qanaah pada Rabbi, mereka hidup dengan acuan al-Quran dan sunnah Rasulullah. Biar ujian membadai kehidupan, biar ombak menghempas pantai hati segalanya diserahkan pergantungan kepada al-Khaliq, tidak sedikitpun menggoyahkan iman yang dipaut kukuh kepada Allah.


Hannan istiqamah menghidupkan solat tahajud, dihiasi solat taubat dan solat hajat yang menghiasi malam-malamnya berteman bebintang yang turut menghiasi langit dunianya, Hannan terus menghiasi langit hatinya.


*****


"Yakinlah Allah, bersangka baiklah pada Allah. Allah adalah apa yang Hannan sangkakan, kalau Hannan meyakini pertolongan Allah maka bersungguhlah meminta pertolongan dari Allah. Kalau Hannan merasa lemah, maka Hannan akan lemah. Ingat, jangan lupa pada kasih sayang Allah." Ayah mengelus lembut ubun-ubun Hannan, sesuap bubur nasi ditelan perlahan pada kerongkong Hannan. Perit sekali rasanya.


"Hannan masih ingat cerita ibu tentang kisah penggunting rambut yang suka bertanya soalan-soalan yang menguji keimanan orang Islam?" Jari ayah masih mengelus ubun-ubun Hannan sambil ibu menyuapkan bubur nasi.


Hannan menggangguk lemah, sinar matanya sentiasa bercahaya.


Penggunting rambut bertanya kepada seorang muslim, "bagaimana kamu meyakini Allah sedangkan kamu tidak melihat Allah, di sini dan sana ada manusia yang kelaparan, manusia saling bermusuhan dan peperangan rancak dilancarkan?" apa yang dijawab oleh muslim itu bukanlah pada sudut kerohanian tetapi mengikut logika fikiran. "Bagaimana kalau aku mengatakan bahawa di dunia ini tiada penggunting rambut?"

Maka, terkejutlah penggunting rambut itu. "Kenapa engkau berkata begitu?" Maka jawab muslim itu, "Kerana di luar sana ada yang kusut masai tidak terurus rambutnya. Ada yang rambut panjang." Penggunting rambut itu menukas, "Kamu salah, aku kan penggunting rambut. Mereka yang tidak datang kepada aku untuk dirapikan."

Maka muslim itu tersenyum, "Begitulah umpamanya. Bukan Allah itu tiada tetapi manusia itu tidak pergi kepada Allah, tidak meminta pertolongan dari Allah, tidak mendekatkan diri kepada Allah, tidak mengamalkan apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang. Bukan Allah tiada tetapi manusia yang tidak mendekati Allah." Penggunting rambut itu pun terus terdiam.


Ibu tersenyum mendengar Hannan mengulang kembali kisah tersebut. Seingatnya, kisah tersebut diceritakan sewaktu Hannan dan Hanani masih kecil namun kiasan kisah itu diingati anak-anaknya sehingga kini. Alhamdulillah.


*****


Hanani mendakap erat tubuh Hannan, Hannan sudah mampu berdiri walau sekadar beberapa minit. Tiada ubatan yang menyakitkan menjalar di urat tangan Hannan, tiada ubat yang membuat Hannan menangis. Hanya terapi solat tahajud secara istiqamah dan alunan kalamullah yang sentiasa menemani, Hannan disembuhkan Allah dengan cara dan kehendak Nya.


"Ayah nak tahu, Ustaz Kamil bagitau Hanani... 'Dalam setiap ayat al-Quran itu penawar. Setiap ayat al-Quran mampu menggetarkan bahagian saraf tertentu pada tubuh kita. Apabila lengkap 30 juzuk yang dibaca, maka lengkaplah getaran pada setiap saraf pada keseluruhan tubuh kita.' Jadi, kalau kita yakin al-Quran itu penawar zahir dan batin maka kita bersungguh-sungguh membaca dan mengamalkannya insya Allah kita akan sihat. Terapi solat tahajud umpama mengecas 'elektrik' dalam badan kita. Ibu nak tahu, kalau kita mandi awal pagi sebelum solat tahajud ianya lebih membuatkan badan kita sihat! Wallahua'lam."


Hanani ceria dengan perubahan positif pada diri Hannan, kembar yang selalu dirindui. Meskipun Hannan tidak mampu belajar bersama namun Hanani sentiasa berkongsi apa yang dipelajarinya.


'Moga Allah memberi kekuatan kepada Hannan dan rezekikan peluang terbaik buatnya. Ameen.'


"Kuliah Subuh minggu lepas, Ustaz Khusyairi berpesan 'kalau mahu dihindari penyakit nyanyuk, selalu baca al-Quran sebagai amalan dan solat tahajud' kena jaga hubungan dengan Allah dari awal, bukan bila dah tua baru nak mula berhubungan dengan Allah. Umur kita di dunia singkat saja, kehidupan di akhirat kekal abadi." Ayah menyambung ayat Hanani.


*****


"Ya Allah, aku mohon kepada Mu dengan rahmat dan kasih sayang Mu... Berikanlah yang terbaik buat agama ku, dunia ku, akhirat ku. Andai penyakit ini memberikan kebaikan kepada agama, dunia dan akhirat ku, aku mohon kekuatan dan kesabaran dari Mu untuk menghadirkan aku ketabahan bagi meneruskan kehidupan ini. Andai penyakit ini lebih baik disembuhkan demi agama, dunia dan akhirat ku maka aku mohon kepada Mu kesembuhan agar aku mampu untuk menjulang panji agama Mu.

Ya Allah, ilmuku ini terbatas dan pengetahuanku sangat terbatas, Engkau juga yang lebih mengetahui apa yang terbaik untukku. Hanya Engkau Maha Mengetahui apa yang tidak aku ketahui."



Airmatanya mengalir, raut wajahnya basah dengan linangan air mata, hatinya terkoyak dengan kehadiran berita yang menyedihkan namun sejadah imannya disimpul kemas. Biar redha dan terus menyulam keyakinan pada Allah.


'La haulawala quwwata illa billah...'


*****


"Ibu, Harith nak kurma."


Harith menarik tangan, tersedar dari lamunan panjang. Subhanallah... Anak kecil itu petah sekali, usianya yang masih kecil dengan susuk yang mungil namun bilah perkataan yang keluar dari mulutnya sepatah-sepatah tanpa pelat.


"Seorang ibu yang solehah, gagah dan tabah akan melahirkan zuriat yang juga kuat semangat! Tengok semangat Harith ni, bersungguh memanjat nak ambil kurma." Khairil menyuapkan kurma ke mulut Harith sambil Hannan ketawa besar dengan keletah si kecil itu.


*****



"Wahai anakku, telah aku berusaha mencorak peribadiku sebaiknya walau aku bukan yang terbaik. Telah aku berusaha memilih bapa terbaik untukmu, jadilah anak yang soleh... Harith anakku sayang, dirimu umpama kenikmatan semanis redha yang ibu teguk sejak dahulu. Allah sentiasa memberi dengan cara Nya, ibu akan sentiasa berusaha yang terbaik buatmu."


Hannan mengucup lembut dahi Harith. Tidurnya enak berteman zikrullah yang dialunkan suara hati ibu, terasa nusrah Ilahi membantu untuk terus menongkah dunia andai benar yakin itu terus berpaksikan iman kepada Tuhan.


Insya Allah.


Sufygirl: Cerpen ini dipetik dari blog sahabat ana, Insyirah. Semoga ibrahnya dapat dikongsi bersama.
Buat insyirah adikku, semoga berjaya menjadi srikandi solehah di sisi mujahid yang dipilih Allah untuk dirimu. Selamat mendirikan baitul muslim. Barakallahu lakuma. Sayang syira! v(^_^)v

Tuesday, May 18, 2010

Jom dengar kuliyah..:)

KULIAH RIYADUSSOLIHIN
Ust. Hafiz (master UIA)
Setiap Hari Rabu: (bermula 19 Mei)
lepas Maghrib - Isyak
Adm LR5, UIA


KULIAH FIQH MUASSARAH
Ust. Rozaimi (master UIA)
Setiap Hari Isnin, (bermula 24 Mei)
5.30 ptg - 6.30 ptg
Adm LR5, UIA


KULIAH FEQAH
Ust. Ubaidillah (syariaah LLB)
Setiap Hari Khamis, (bermula 20 Mei)
5.30 ptg - 6.30 ptg
Adm LR5, UIA


Segala permasalahan & pertanyaan, boleh menghubungi Saudara Afiq (013-3087005)

SEMUA DIJEMPUT HADIR DAN SEBARKAN KEPADA ORANG LAIN UNTUK HADIR.


*InsyaAllah, kami akan sediakan salinan tajuk pada minggu itu bagi sesiapa yang tiada kitab yg digunakan. Free sahaja.


“Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari ilmu,
maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.”
[Riwayat Muslim dalam Shahihnya (penomboran Fu’ad Abd al-Baqi), hadis no: 2699].

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik - derhaka.” [Maksud surah al-Hadid, ayat 16]

Friday, May 7, 2010

Perhimpunan Perdana Palestin


sufygirl: insyaallah akan ke sana pagi esok dengan menaiki bas uia bersama sahabat-sahabat lain. :)

Fitnah Petunjuk Istikharah



“Ustaz, saya dan tunang saya sudah hampir ke tarikh pernikahan kami. Tetapi tunang saya telah secara mendadak memutuskan pertunangan kami. Beliau bermimpi melihat seorang perempuan lain dan setelah beristikharah, beliau yakin perempuan itu adalah pilihan sebenarnya kerana ia muncul dengan petunjuk Allah. Bagaimana pandangan ustaz? Saya dan keluarga saya serta keluarga tunang saya sangat terkilan. Apakah benar saya sudah dikeluarkan daripada petunjuk Allah? Di mana silap saya, ustaz?”

Sepucuk emel dihantar kepada saya. 

Beristighfar dan mengurut dada. 


Percaya atau tidak, gejala ini semakin menjadi-jadi.
Malah di kalangan pelajar universiti, Istikharah semakin popular di dalam trend yang tersendiri. Ia diamalkan bagi ‘memaksa’ Allah membuat pilihan untuk mereka. Berbekalkan kejadian persekitaran atau mimpi yang disangka petunjuk, kadang-kadang ‘pilihan Allah’ itu adalah tunang orang, suami orang, malah ada juga isteri orang. Bertindak atas nama ‘petunjuk Allah’, tercetus permusuhan sesama anak Adam.
Apakah Allah, atau Syaitan yang memberikan ‘petunjuk’ penuh mudarat dan zalim itu?


MEMBELAKANGKAN ILMU


Penyakit besar yang melanda anak-anak muda terbabit ialah beribadah tanpa ilmu. Mereka melaksanakan Solat Istikharah berdasarkan saranan rakan-rakan yang juga melakukannya atas saranan kawan-kawan yang lain. Berapa ramaikah yang membuka kitab Fiqh atau belajar mengenai Solat itu dan ibadah yang lain melalui para ustaz dan alim ulama’? 

Keadaan ini menjadi lebih bermasalah apabila ada pula agamawan yang mengesyorkan panduan-panduan yang tidak berdasarkan keterangan al-Quran dan al-Sunnah malah diajar pula kaifiyat yang sangat membuka ruang manipulasi Syaitan dalam mengaburi pertimbangan anak Adam. 


Mengira huruf tertentu di dalam Surah, menyelak secara rawak mushaf dan mencari petunjuk di muka surat yang terbuka, juga paling banyak meniti di minda ialah menanti mimpi yang menjawab permintaan.
Ia mengingatkan saya kepada pandangan Sheikh Saleem bin Eid al-Hilali di dalam kitab Bahjah al-Nadzireen syarah kepada Riyadh al-Sholiheen:

“Ada sesetengah orang berpendapat, “sesudah mengerjakan solat serta Doa Istikharah, akan muncullah nanti petunjuk dalam mimpinya, maka dia akan memilih sebagaimana yang ditunjukkan oleh mimpinya itu” Justeru ada sesetengah orang berwudhu’ dan kemudian melakukan Solat serta Doa Istikharah dan terus tidur (dengan meletakkan harapan petunjuk datang melalui mimpi), malah ada juga mereka yang sengaja memakai pakaian berwarna putih kerana mengharapkan mimpi yang baik. Semua ini hakikatnya adalah prasangka manusia yang tidak berasas” 

Menjadi satu keperluan yang sangat penting untuk kita kembali kepada maksud asal Solat Istikharah.
Istikharah itu bermaksud meminta bantuan daripada Allah untuk seseorang itu memilih di antara beberapa kemungkinan yang diharuskan oleh Syara’. Ada pun pilihan yang berada antara manfaat dan mudarat, apatah lagi Halal dan Haram hatta Makruh, maka tidak harus untuk Istikharah dilakukan kerana tindakan yang sepatutnya diambil sangat jelas iaitu pada meninggal dan menghindarkan pilihan yang tidak baik itu.


Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:


“Hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya dengan sanadnya daripada Jabir radhiyallaahu ‘anhuma, beliau berkata: Daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam Baginda bersabda:



Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk dengan dua Rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu (yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah). 


Kemudian hendaklah dia berdoa: 


Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya. 


 

ANTARA ISTIKHARAH DAN ISTISYARAH


Istikharah itu mempunyai gandingan yang memberi tambahan kemudahan. Ia dikenali sebagai Istisyarah.
Istisyarah ini bermaksud meminta pendapat mereka yang boleh dipercayai untuk membantu seseorang itu membuat keputusan.


Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berkata: 

“Tidak akan menyesal seorang yang beristikharah kepada al-Khaliq (Allah) serta bermesyuarat dengan para Makhluq, serta tetap pendirian dalam keputusannya”


Biar pun para Ulama berselisih pendapat tentang mana yang patut didahulukan antara Istisyarah dan Istikharah, ia tidak menjejaskan bahagian yang perlu dimainkan oleh seorang manusia dalam proses dirinya membuat keputusan. Sebelum sampai kepada pertimbangan memilih antara dua kebaikan, seseorang yang berhajat itu mestilah mempunyai asas dalam penilaiannya agar pilihan yang ada di depan matanya adalah antara dua perkara yang harus serta sama baik. Sudah tentu, hal ini juga memerlukan dirinya untuk mengambil bahagian dengan berusaha.


Setelah beristikharah, namun hati masih berada di dalam ketidak pastian, harus baginya untuk mengulangi Solat dan Doa Istikharah itu hingga beroleh ketetapan hati dalam membuat keputusan. Di samping itu juga, dia dianjurkan beristisyarah, yakni meminta pendapat individu-individu yang dipercayai integriti dan kemahirannya dalam urusan tersebut, agar keputusan boleh dibuat. 

Titik pentingnya ialah, keputusan hendaklah kita yang berhajat itu melakukannya dan bukan menyerahkan kepada Allah untuk membuat keputusan itu dan menampakkanya melalui petanda-petanda yang dicari. Di sinilah ruang untuk fitnah berlaku apabila dalam suasana hidup kita yang dibelenggu oleh pelbagai maksiat serta Iman yang teruji, kita membuka suatu ruang kosong untuk dicelah oleh tipu helah Syaitan. 


Tambahan pula dalam keadaan jiwa anak muda yang selalu lemah untuk menolak kehendak diri dan sering terdorong mengikut kemahuan. Jiwanya tidak bulat meminta kepada Allah, sebaliknya bermain helah untuk mengharapkan Allah menyokong kecenderungan dirinya sendiri. 


Berhentilah mencari mimpi. 


Berhentilah menunggu petanda. 


Beristikharah memanggil kebersamaan Allah dalam keputusan yang kita buat. Kita yang membuat keputusan itu, dengan keyakinan hasil Istikharah, bahawa keputusan yang kita buat itu adalah dengan kebersamaan Allah. Jika di kemudian hari, pada pilihan yang dibuat itu, datang mehnah yang menguji kehidupan, kita tidak akan berfikiran negatif malah berusaha untuk mencari sisi-sisi positif pada apa yang berlaku kerana keputusan yang dibuat dahulu itu adalah dengan kelengkapan Syariatullah (Istikharah) serta Sunnatullah (Istisyarah – Ikhtiar Usaha).


Pertimbangkanlah… seandainya pilihan yang disangkakan petunjuk daripada Allah itu mencetuskan mudarat, permusuhan, meninggalkan yang afdhal dan mengambil yang mafdhul… berhati-hatilah.
Ia mungkin mainan Syaitan. 


“Sebahagian (daripada umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada di dalam petunjuk hidayah” [Al-Aa'raaf 7: 30]




KESIMPULAN


Hindarkan diri daripada kesukaran menetapkan pendirian dalam kehidupan. Was-was adalah permainan Syaitan dan penyakit jiwa yang mengundang bahaya.


Dalam hal-hal yang tiada keraguan dalam membuat pilihan keputusan, ia tidak berhajatkan kepada Istikharah.
Ketika berdepan dengan pilihan yang sukar ditentukan, gunakan pertimbangan diri untuk melihat buruk baiknya. Jika jelas mudarat atau sudah ditentukan Haram hukumnya, maka tidak harus beristikharah. Pada perkara yang sukar untuk dibuat keputusan, beristikharahlah kepada Allah mengikut kaifiyat Solat Istikharah dan Doa yang Ma’thur daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.


Istikharah boleh diulang beberapa kali hingga beroleh ketetapan hati untuk membuat keputusan. Di samping itu juga beristisyarahlah dengan meminta pandangan pihak yang boleh dipercayai kewibawaannya.
Petunjuk daripada Allah ialah kemampuan hati untuk tetap pendirian membuat keputusan. Hindarilah perbuatan menunggu mimpi atau petanda berbentuk isyarat kerana ia sangat terbuka kepada belitan Iblis. Jauhi Bid’ah dan Syirik. Setelah keputusan dibuat, bertawakkallah kepada Allah dan tenang dengan keputusan itu. Seandainya timbul cabaran atau muncul sisi kekurangan pada pilihan yang dipilih, tiada fikiran negatif muncul kerana yakin adanya hikmah dan kebaikan daripada Allah. 

Istikharah terbuka kepada apa sahaja urusan kehidupan yang berada di dalam ruang lingkup keharusan Syara’ dan salah jika hanya dilihat sebagai mekanisme jodoh. 
Rujuklah kitab-kitab Fiqh serta panduan Sunnah dalam urusan Istikharah serta ibadah-ibadah yang lain.Melakukan ibadah dengan hanya berpandukan hearsay adalah pintu kebinasaan dalam beragama. 


sumber.saifulislam.com

Tuesday, May 4, 2010

Ceramah Isu Semasa "Kerana Cinta"



~KERANA CINTA, yang pahit manis di rasa, merawat luka,damai di jiwa~ Jangan KERANA CINTA, kita pun leka, tergadai semua maruah agama~

Dijemput semua untuk ke satu ceramah istimewa anjuran Maruf Club seperti berikut :


Bermula dengan majlis iftar bersama-sama:
Masa: 6.45ptg
Tempat: level 1 Masjid UIAM
*sila dtg awal untuk tazkirah
*bawa makanan sendiri, air disediakan. InsyaAllah.



Ceramah Isu Semasa bertajuk:
"...KERANA CINTA...."


Tarikh : 6hb Mei 2010
Tempat : Audi Engin A, E2, Level 1, UIAM

Masa : 8.45pm - 11pm
Penceramah : Ustaz Zamri Syafiq, (bekas Pensyarah Darul Quran)


**Isu semasa ini reaksi kepada pembuangan bayi yang sangat berleluasa sekarang. Ini semua berpunca dari cinta yang terlarang yang menyebabkan berlakunya zina dan maksiat yang tanpa batasan. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mendengar kupasan menarik dari Ustaz Zamri Syafiq, seorang yang berpengalaman luas yang berkaitan remaja. Jangan biarkan hati anda ternoda dengan maksiat CINTA tanpa batasan.

~Jemputan khas kepada semua ahli maruf club dan kepada semua pelajar UIAM~

Kita jumpa disana..insyaallah

~Cinta yang sejati..hanya cintakan illahi..cinta ayah bonda..tulus suci selamanya..cintakan saudara..hanya sementara..serta sesama insan..suburkan dengan ketakwaan..~

Monday, May 3, 2010

Tahniah atas kelahiran & kehadiran insan baru..=)

Sekali lagi berkunjung ke uia kuantan. Petang jumaat saya menaiki bas ke sana dan tiba di terminal kuantan kira-kira jam 9.30 malam. Terima kasih shireen & zai yang tolong jemput. Malam tu menumpang di bilik nija & hanim. Alhamdulillah ramai sahabat-sahabat di sini. =)


Niat asal ke kuantan, nak ke kenduri kahwin ex-classmate matrik esoknya. Jumaat tu jugak (30 april), sahabat saya amalina selamat melahirkan 2 orang puteri yang comel. Alya syuhada & alya syahira. Both of them are so cute! ^^,


:: 1st TWIN ::


:: 2nd TWIN ::


Sebelum pergi kenduri, kami ziarah amalina dulu. Saya ke hospital tengku ampuan afzan bersama dengan nija, hanim, dan anis, sabtu tengahari. Masa kami sampai, shahid tengah dukung baby nya, seorang lagi tengah tidur. Amalina masih lemah, alhamdulillah semua selamat. Excited tengok baby.


:: Dah bertahun tak pegang baby, terkial-kial nak dukung..huhu ::

Tahniah atas kelahiran permata hati yang comel. Moga jadi anak-anak yang solehah penyejuk mata ibu & abi. (dah tanya shahid nanti panggil apa) Kagum dengan amalina yang berbadan kecil, tapi diberi kekuatan untuk melahirkan 2orang bayi sekaligus. Semoga terus kuat ye, dik!


:: Bestnye dia tidur...comel! Masa ni hanim tengah dukung.. ::

Tak lama lepas tu, ramai classmate amalina (dentistry) dan sahabat-sahabat lain datang melawat. Semua sibuk nak bergambar dengan baby. Kami yang paling awal sampai, tapi paling lewat balik. =)

:: With anis (nursing) & nija (dentistry)...ada bakat dah tu, hehe.. ::

Lepas solat zohor, kami bergerak ke tempat walimah. 3.30 petang baru keluar dari hospital. Sebenarnya dekat je, tapi tak jumpa jalan, silap masuk lorong, dekat pukul 4 baru sampai. Kenduri dah nak habis pun masa tu. Kawan-kawan uia lain pun ramai dah balik.

:: Congrats hakimin & nadrah ::


Pengantin lelaki ni ex-classmate kat matrik dulu, uia gombak jugak. Pengantin perempuan tak kenal pun sebenarnya, uia kuantan. Tahniah ye, dik. Dah jadi suami orang dah pun. ^_^


Tahniah sekali lagi untuk amalina & shahid atas kelahiran 2 orang puteri, dan tahniah untuk fakhrul hakimin atas kehadiran permaisuri baru, moga jodoh berkekalan. Barakallahulakuma. (^_~)