“Jangan suka menyakiti hati orang lain dengan kata-kata kita,” nasihat seorang ibu kepada anaknya.
“Saya tahu itu salah, ibu. Tapi saya akan cepat minta maaf. Itu satu kelebihan saya juga, bu,” kilas si anak.
“Tetapi perbuatan kamu itu menyakitkan hati orang, anakku,” kata ibu itu lagi.
“Saya rasa tidak. Selepas minta maaf, segala-galanya langsai, bu.”
Si ibu berfikir. Apakah cara untuk menyedarkan anaknya daripada sifat buruk ini?
“Kalau begitu, kamu ikut cadangan ibu ini. Moga kamu akan fahami maksud ibu nanti.”
Tanpa membantah anak itu setuju.
“Begini, setiap kali kamu menyakiti hati seseorang, kamu ketuk sebilah paku ke dinding ini. Kemudian, setelah kamu meminta maaf, kamu cabut semula paku yang kamu ketuk itu!”
“Baik, ibu.”
Beberapa bulan berlalu, mereka sama-sama menghadap dinding tersebut.
“Lihat ibu, mana ada paku yang tinggal?” ujar si anak dengan bangga. “Semuanya telah dicabut. Memang ramai orang yang saya sakiti hati mereka, tetapi semuanya telah memaafkan saya setelah saya minta maaf.”
“Betul kamu sudah minta maaf dan mereka memaafkan, tapi sedarkah kamu…?”
“Maksud ibu?”
“Cuba kamu tengok dinding ni. Semuanya sudah tebuk, calar dan “berkematu”. Itulah hati-hati yang telah kamu sakiti. Walaupun kamu sudah dimaafkan, tetapi kesan perbuatan buruk itu masih berbekas di hati mereka. Hati yang dilukai ada parutnya, anakku…”
Si anak merenung dinding yang tebuk-tebuk itu. Sudah tidak indah lagi seperti asalnya. Begitukah hati-hati orang yang telah aku sakiti?
Pengajaran: Meminta maaf adalah perbuatan terpuji. Tetapi berusaha agar kita tidak terpaksa meminta maaf (maksudnya menghindarkan diri daripada menyakiti hati orang lain) jauh lebih terpuji. Ya, luka di hati itu lebih sukar diubati daripada luka di tangan.
Sumber: majalah solusi isu no.8
1 comment:
Sombong adalah sifat yg hanya selayaknya dimiliki oleh Allah s.w.t dan ia membenci bahkan melaknat manusia yg memiliki sifat tersebut, maaf adalah juga sifatnya bahkan ia adlh sebesar sifat bg Allah S.W.T kenapa tanpa kemaafan darinya sudah tentu manusia yg terakhir yg diciptakan oleh Allah S.W.T ialah Hawa tetapi sifat itu dibenarkan bahkan dituntut untuk dimiliki oleh manusia kerana dengan maaf (samada memohon atau menerima ) itu tidak merendahkan diri yang memohon dan tidak juga meninggikan kedudukan yangg dipohon dan tidak juga merendahkan martabat yg memohon bahkan sebenarnya meninggikan darjat dan kedudukannya disisi Allah s.w.t....yang mana seharusnya kita pilih kedudukan disisi Allah S.W.T atau disisi manusia...
Post a Comment