Followers

Sunday, April 25, 2010

Pilihan ada di tangan kita

Sedar atau tidak, apa saja yang kita lalui di dunia ini hanya bersifat sementara. Sekiranya ditimpa musibah, kita boleh memilih untuk bersabar atau berkeluh-kesah, bersedih atau redha dengan ketentuan-Nya. Kesedihan hanya akan merugikan diri, menyebabkan kemurungan, kekecewaan, resah dan gelisah sepanjang masa. Secara tak langsung, tugasan seharian juga akan tergendala. Ini kerana kita mengalami tekanan dan gangguan secara psikologi, mental dan fizikal akan terjejas. Sudah tentu ini akan memberi kesan negative dalam kehidupan seharian. Bukankah begitu?

Ok, stabilkan emosi. Jangan sedih-sedih…


“Kerisauan tidak akan menghapuskan kedukaan hari esok, ianya menghapuskan kekuatan hari ini”
-Corrie Ten Boom

Jika kita sentiasa berada dalam kerisauan, belum tentu kesedihan hari esok akan hilang, kerana kita tidak pernah tahu apa yang bakal terjadi. Sebaliknya, kerisauan itu mampu menghapuskan kekuatan yang kita ada, mampu melemahkan semangat kita pada hari ini.

Sebagai seorang muslim, kita tidak seharusnya berputus asa dari rahmat Allah. Orang yang berputus asa tidak mempunyai harapan dan semangat untuk hidup. Sedangkan kita mempunyai tempat pergantungan, tali yang paling ampuh untuk bergantung, siapa lagi kalau bukan Sang Pencipta? Segalanya telah tecatat di luh mahfuz, telah tertulis dalam qadha’ dan qadar-Nya. Jadi, kenapa kita perlu berkeluh-kesah dan berputus asa?

“Jangan kamu merasa lemah dan berduka cita, sebaliknya kamulah orang yang tinggi jika kamu beriman”.
(Ali ‘Imran 3:319)

Apabila segalanya disandarkan kepada Allah, dan puncak tawakkal kita hanya kepada-Nya, kita tidak perlu risau dan resah. Serahkan segalanya pada Allah! Mungkin apa yang berlaku tidak seperti yang kita harapkan, tapi tidak mustahil kesannya jauh lebih baik dari apa yang kita harapkan. Mungkin bukan sekarang, tapi pada masa depan. Kita tidak tahu perancangan Allah, tapi kita perlu yakin bahawa Dia telah tetapkan apa yang terbaik untuk kita.

Kenapa perlu merosakkan HARI INI yang indah dengan kebimbangan tentang hari SEMALAM dan hari ESOK? Lalui hari ini dengan gembira, lupakan kesedihan hari semalam, dan berdoalah semoga kita mampu menempuh hari esok dengan lebih baik! Ya, sekiranya esok masih ada untuk kita. Dan esok, adalah penuh misteri, kita tidak tahu apa yang akan terjadi. Namun, kita masih boleh merancang untuk esok, merancang supaya hari esok lebih baik dari hari ini.

Ada beberapa perkara yang berlaku, benar-benar menguji iman dan kesabaran, mencalar jiwa dan perasaan, meruntuhkan semangat saya. Tapi, berbaloikah untuk saya mensia-siakan sisa waktu yang ada dengan termenung, bermuram, melayan perasaan? Jawapannya ialah TIDAK! Saya ingatkan diri, diri saya milik Allah, masa juga adalah amanah dari Allah. Jadi, saya perlu manfaatkan hidup ini dengan sebaiknya. Saya masih sedang mencari dan membina kekuatan diri. Tidak mudah untuk terus bangkit tanpa ada sokongan. Oleh itu, carilah sahabat-sahabat yang mampu membimbing. Jangan mengalah dengan kelemahan diri dan emosi, sebaliknya selongkarlah kekuatan diri yang masih belum ditemui.


Pilihan ada di tangan kita. Pilih untuk melakukan dan mengawal perubahan, atau dikawal oleh perubahan. Pilihlah sama ada untuk hidup dengan gembira atau bersedih. Buanglah kebimbangan jauh-jauh dari hidup kita. Kongsilah keceriaan dengan orang lain, sebarkan senyuman. Semoga ada hati-hati yang berduka mampu menumpang bahagia.

Jom kita buangkan kebimbangan dan keresahan dari hidup ini, lemparkannya jauh-jauh!

Selamat tinggal, Kebimbangan!

Jika kita mampu memilih untuk gembira, kenapa perlu memilih untuk derita? Kita ada hak untuk membuat pilihan. Lebih baik jika pilihan itu diiringi dengan doa dan istikharah, untuk membuat apa saja keputusan dalam hidup. Setiap hari adalah hari baru, ciptaan baru, dan peluang yang baru. Terpulang pada diri sendiri untuk merebut peluang itu dan melakar sejarah baru dalam hidup kita. 

Sufygirl: Inspirasi dari buku “Hidup Bukan Rahsia”.

No comments: