Followers

Friday, May 27, 2011

.:: LELAKI ::.

Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mendongak megah,
Lelaki kami Asadullah, Saifullah,
Tokoh kami ramai tak terkira,
Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya menunduk lemah,
Tokoh kami sedikit sekali,
Ramainya boneka Yahudi.

Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya tenang di hati,
Lelaki kami menjaga, melindungi,
Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mahu cabut lari,
Lelaki khianat, perogol bersiri.

Dulu,
Bila seorang wanita teraniaya,
Sepasukan kuda putih membela,
Al-Mu’tasim kebanggaan wanita,
Kini,
Ribuan wanita suci dipenjara,
Fatimah diperkosa minta dibela,
Lelaki tunduk tak bertenaga.

Dulu,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki memagari sehabis daya,
Tiada siapa berani menggoda,
Kini,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki tak kisah auratnya terbuka,
Wanitanya dibiar bebas, binasa.

Dulu,
Lelaki menggadai harta dan nyawa,
Untuk mengangkat kemuliaan agama,
Kini,
Lelaki menggadai ketinggian agama,
Demi nafsu, dunia dan seisinya.

Dulu,
Lelaki bermatian mencipta sejarah,
Kental berjihad, tekun berdakwah,
Kini,
Lelaki hanya menyanjungi sejarah,
Diri bermalasan, tenaga tak dikerah.

Dulu,
Lelaki memperjuangkan deen dan ummah,
Al-Farouq, Zunurain mati terbunuh,
Kini,
Lelaki memperjuangkan diri dan kroninya,
Hingga sanggup membunuh.

Dulu,
Lelaki bersatu menghadapi musuh,
Angkatannya kuat dan teguh,
Kini,
Lelakinya berpuak dan berpecah,
Sesama sendiri saling bertelingkah.

Kembalilah lelakiku,
Pada kelelakianmu,
Kami rindukan lelaki dulu,
Acuan Madrasah Rasul.


Petikan dari "Syabab Musafir Kasih"

Thursday, May 26, 2011

"Kupu-kupu" untukku... (◕‿◕✿)

Mula berkenalan melalui fb dan blog. Bertaaruf serba sedikit, tidak mengambil masa yang lama untuk jadi "adik-beradik". ^_~

Dan kemudian, tanpa segan-silunya saya telah...

Jie: Buat satu entri untuk akak boleh? Hehe...

Fatin: Akak nak tajuk apa? Ce pilih. Nanti malam ni atin buat khas untuk akak. Ilham atin selalu datang tengah-tengah malam. Melalui tajuk, atin dapat rungkaikan semua. Jadi..akak kena pilih tajuk. Maka akan tercipta khas buat kak jie sayang ni. :)

Jie: "Kak jie, mesti kuat semangat!"

Fatin: Baik!!!

Jie: Lepas tu, dalam entri tu kena tulis "fasobrun jamil". :)
Hehe..demand pulak..:P Buat puisi sekali boleh? Lalala~

Fatin: Baik~ Boleh aje.. :)


Maka terciptalah "kupu-kupu semangat" untuk saya. Thanks a lot dear! ^_^


Fasobrun jamil!~
Sungguh...sabar itu cantik...
Sabar itu indah...
Buat hati yang gundah gulana...

Kekuatan itu mulai seperti 'Kupu-kupu'
::Insyirah::فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا::
(Kerana sesungguhnya bsama kesulitan itu ada kemudahan,)




P/s: Terima kasih untuk adik yang ajar akak buat printscreen ni. Moga nama akak termasuk dalam doa awak. :) 'Rasa' itu selalu ada...Allah~



~Man sobara zhafira~ 

"Siapa yang bersabar akan beruntung. 
Jangan risaukan penderitaan hari ini, jalani sahaja 
dan lihatlah apa yang akan terjadi pada masa hadapan. 
Sebab yang kita tuju bukan sekarang 
tetapi ada yang lebih besar dan asas, 
iaitu menjadi manusia yang menemukan misinya dalam hidup."

Wednesday, May 25, 2011

Aku Bukan Perempuan Itu...II

Tatkala perempuan lain sibuk menunggu dan membalas SMS cinta. Aku mengatakan. Aku bukan begitu.


Kerana aku perempuan yang punya hala tuju. Aku tidak akan membazirkan masa mudaku untuk perkara yang langsung tidak bermanfaat untuk akhirat! Hanya keseronokan sementara. Hanya mengenyangkan nafsu.

Oh, aku bukan begitu. Kerana aku mahu sibuk menelaah ilmu. Menggali ilmu Fardu Ain dan juga yang berkaitan dengan hukum syarak. Menjadi seorang wanita yang beramal dengan ilmunya.

Mencontohi Saidatina Aisyah a.s yang cukup cerdas dan cerdik dalam mengeluarkan fatwa. Sehingga menjadi antara rujukan dalam urusan berkaitan hal ehwal masyarakat dan hukum hakam. Itu semua berdasarkan ilmunya.

Sehingga membawa aku untuk berfikir sejenak. Alangkah bodohnya diri andai melayan cinta palsu yang berlandaskan nafsu sedangkan terlalu banyak ilmu yang belum aku teroka.

Aku tidak suka melayan perasaan yang sia-sia sedangkan 'dia' telah ditakdirkan buatku. Aku mahu menjadi perempuan yang matang dengan ilmunya. Dengan ilmunya makin terasa manis akan ibadat. Makin terasa semakin dekat dan erat dalam dakapan kasih Allah. Dengan ilmu yang mewujudkan perasaan khauf, takutkan Allah.

Tatkala perempuan lain ada yang materialistik terhadap wang. Aku mengatakan. Aku bukan begitu.


Kerana aku perempuan yang materialistik terhadap pahala. Mahu akaun akhirat kaya dengan amal soleh. Setiap detik bagiku amat berharga untuk aku lakukan sesuatu yang dipandang oleh-Nya. Kerana aku mahu menjadi wanita syurga! Itu bukan sekadar madah penyedap kata. Bukan sekadar omong kosong. Ini cita-cita tertinggi aku.

Kerana aku perempuan yang berfikiran jauh. Berpandangan jauh ke hadapan. Aku benar mahu cinta-Nya. Terkadang aku terfikir. Andai aku di tempat Masyitah yang dipaksa terjun ke dalam minyak panas semata-mata untuk mempertahankan keimanan, apakah aku kuat sepertinya? Atau mungkin aku akan lari atau mungkin aku akan... entah. Aku menangis...

Aku mahu seperti Rabi'ah al-Adawiyah. Cintanya terhadap Kekasih Agung begitu mengagumkan. Sehingga dengan ujian dia merasa gembira. Benar reda dan tidak merungut walaupun ditimpa musibah. Diculik dan menjadi hamba kepada raja yang zalim.

Apakah aku mampu seperti sufi wanita ini. Yang memperkenalkan apa itu falsafah Cinta Ilahi sehingga tiada cinta manusia di hatinya kerana cintanya yang terlalu mendalam terhadap Yang Satu. Tetapi aku... Aku menangis lagi..

Aku menangis.. Menangis.. Menangis.. Namun, tangisan ini membuatkan aku kembali kuat. Menyedarkan aku daripada lamunan. Kerana aku bukan perempuan yang mudah menyerah kalah! Allahuakbar! Aku tidak kenal erti jatuh yang tidak bangun. Aku bukan perempuan yang begitu. Lembik. Lemah!

Aku bukan perempuan lembik yang lemah. Mengada-ngada. Tidak mampu untuk hidup berdikari dan yang hanya bergantung kepada orang lain. Aku bukan perempuan yang penakut dan pengecut! Aku bukan perempuan yang mudah kalah terhadap cabaran!

Aku mahu menjadi perempuan yang lembut. Yang mempunyai hati yang kuat. Yang tidak lari daripada cabaran dunia tetapi menghadapinya dengan berani. Dengan bersandarkan keyakinan Dia sentiasa di sisi, aku tidak akan takut menegakkan kebenaran. Mempunyai hati yang bisa dilentur namun tak mudah untuk dipatahkan. Aku perempuan yang mampu berpijak atas kaki sendiri.

Akan ku kesat air mata ini dengan semangat baru. Semangat yang lahir dari kekuatan yang dihembus-Nya. Aku tidak akan begitu mudah menurut kata nafsu. Aku perempuan yang ditarbiyah. Mampu mempertahankan maruah sendiri daripada tergadai oleh godaan duniawi. Aku ada Dia. Cukup.


Aku tidak mahu neraka. Aku mengatakan. Itu bukan aku. 
Kerana aku perempuan yang mahukan syurga.
"Barang siapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, 
Dia akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. 
Dan itulah kemenangan yang agung."
[An-Nisa', 4 : 13]


sumber: iluvislam.com

Tuesday, May 24, 2011

Aku Bukan Perempuan Itu...

Aku seorang perempuan. Perempuan yang hidup dalam arus dunia moden. Penuh tipu daya andai tersilap langkah.. MERANA..

Aku perempuan yang benci akan penyakit cintakan dunia. Aku perempuan yang mahu cinta Allah meresapi seluruh jiwa! Tenggelam dalam cinta-Nya. Sungguh mengasyikkan.

Aku seorang wanita yang mahu tetap teguh pendirian. Halangilah jalanku ke arah reda-Nya, pasti akan kutempuh jua.

Aku perempuan yang bukan begitu mudah untuk patah semangat.. Aku perempuan yang tidak takut dengan helah palsu kerana aku punya Dia! Kebenaran pasti tertegak!

Hasbee Rabbee. Maa fee qalbee ghairullah.
Cukuplah Allah bagiku. Tiada dalam hatiku selain Allah.




Tatkala perempuan lain megah memaparkan gambar di Facebook. Aku mengatakan. Itu bukan aku.

Kerana aku perempuan yang punya maruah. Allah menganugerahkan kecantikan dan kelebihan tersendiri pada tiap-tiap insan bernama wanita.

Oh, bukan untuk dijadikan bahan jajaan mata lelaki bernafsu. Tetapi, khazanah yang perlu disimpan hingga waktunya tiba. Hanya buat suamiku. Aku tidak akan sesekali menghampakan dia.

Aku bangga memperjuangkan pakaian sunnah. Aku bangga mengenakan busana yang menepati kehendak Allah. Aku bangga menutup keseluruhan auratku daripada menjadi panahan mata lelaki. Biar mereka memandang serong.

Tidak pernah tergugat usahaku dalam mendamba reda-Nya. Sedikitpun aku tidak peduli pandangan manusia. Ya, mengapa harus peduli sedangkan Dia adalah Pencipta?

Aku langsung tidak ingin kelihatan cantik di mata ribuan lelaki. Aku langsung tidak ingin menjadi rebutan jejaka kacak atas mata yang hanya memandang kecantikan. Aku langsung tidak ingin sang pria menaruh hati dan harapan kepadaku kerana rupa.

Aku tidak mahu menjadi fitnah bagi mereka. Aku tidak mahu mereka sibuk memikirkan aku melebihi Al-Khaliq Sang Pencipta. Kerana aku tidak tahu alasan apa yang harus ku utarakan saat Dia bertanya kelak.

Malah apabila aku menjadi punca dua jejaka bermasam muka dan bergaduh, aku terasa begitu hina! Seolah-olah aku hanyalah barang yang bisa dibeli begitu sahaja. Aku punya maruah. Aku bukan barang jajaan yang mudah dilihat, disentuh, diusik, direbut sesuka hati! Kerana aku hanya khusus buat dia.

Kerana aku sentiasa merasakan dia ada di sisi walaupun pada mata kasarnya dia tiada menemani. Hanya keyakinan aku sandarkan pada-Nya dalam sebuah penantian. Itu sahaja sudah cukup. Cukup buat aku bahagia dengan dia, takdirku kelak.

Malah aku malu membiarkan seorang lelaki ajnabi berjalan di belakangku lantaran fitnah yang mungkin timbul. Mengingatkanku kepada apa yang dikatakan oleh Saidina Umar radhiallahu 'anhu, "Aku lebih rela berjalan di belakang seekor singa daripada berjalan di belakang seorang wanita."

Aku mahu menjadi perempuan yang sukar. Sukar didekati. Sukar dipermainkan hatinya. Sukar tunduk kepada kehendak nafsu. Sukar mengatakan ya kepada pergaulan yang tiada batasan syarak.

Sukar untuk merasa tenang apabila melihat anak bangsa semakin rosak. Sukar membuang perasaan malu terhadap ajnabi. Aku mahu jadi perempuan yang sukar itu. Aku mahu menjadi sebaik-baik wanita yang tidak memandang dan tidak dipandang. Seperti pesanan Saidatina Aisyah radhiallahu 'anha. Ini baru aku.

Tatkala perempuan lain sibuk memikirkan cinta manusia. Aku mengatakan. Itu bukan aku.


Kerana aku perempuan yang punya matlamat. Aku punya agama yang mesti aku perjuangkan. Lihat! Cubalah lihat di luar sana! Sedih! Aku sayangkan wanita di luar sana! Anak-anak remaja perempuan yang berpakaian mendedahkan aurat.

Sedih! Aku sayang mereka! Wanita yang asyik memikirkan kapan bila mahu bertemu pacarnya. Sedih! Aku sayang mereka! Perempuan yang membonceng motosikal lelaki dan dijadikan hadiah pertaruhan lumba haram. Sedih! Aku sayang mereka! Wanita yang telah dinodai kehormatannya dengan rela!

Sememangnya aku perempuan, aku juga punya rasa. Menyayangi dan disayangi. Namun aku tidak akan begitu mudah tertipu. Kerana aku tidak begitu bodoh untuk menghabiskan masa dengan memikirkan perkara yang tidak pasti.

Hanya angan-angan sementara. Aku bukan perempuan yang menghabiskan masanya sering memikirkan masalah sendiri dan tidak memikirkan kudis yang semakin membusuk pada umat! Aku tidak mahu menjadi perempuan yang mementingkan diri sendiri.

sumber: iluvislam.com

Sunday, May 22, 2011

Hujung minggu yang bermakna.

Meluangkan masa di UIA gombak sebelum ke walimah adah di kuantan. Saja melepas rindu pada sahabat-sahabat. Rindu UIA juga. Seronok dapat berusrah bersama-sama, walaupun saya sekadar 'menumpang'. ^_^ Alhamdulillah dapat juga sedikit pengisian.

Tumpang bermalam di bilik wani semalaman. Sebilik dengan irma rupanya, adik saya juga tu. Saya kan ramai adik. ;)


Semasa mass gath MC, berjumpa dengan lebih ramai sahabat dan adik-adik yang lain. Memang sengaja datang awal ke UIA untuk ke mass gath MC, tapi tak sangka boleh berusrah sekali tengahari tu. Terima kasih kepada adik yang jemput akak di greenwood. Terima kasih juga buat adik yang belanja kek tengahari tu. Lain kali sila belanja lagi yep! Hee~


Perancangan asal, mahu konvoi ke kuantan dengan sahabat-sahabat lain pada pagi sabtu. Petang jumaat, k.su call dan ajak bertolak terus, mahu pergi awal. Saya bersetuju untuk mengikut memandangkan tiada sebarang agenda lain di UIA. Cuma saya dan k.su.

Singgah bermalam di temerloh rumah kakak angkat k.su, sudah berkeluarga. Tapi dah macam family sendiri pun, dengan anak-anaknya pun k.su rapat. Pagi esoknya baru bertolak ke kuantan. Itupun singgah di rumah adik-adik angkat yang lain pula.

~budak ini sangat comel menyebabkan saya teringin snap gambarnya... 
anak bongsu kakak angkat k.su~

Nasib baik waktu sampai tengahari tu belum mula akad nikah. Adah pun  masih sedang bersiap. Eh, silap...sedang 'disiapkan'. Hehe... Bukan orang lain pun, aina, yun, dan kawan-kawan lain yang 'kerjakan' adah. Memang cantik berseri-seri, cuma suara je serak. Hari nak nikah pulak dia tak sihat. Isy3...:P

Saya stay di rumah adah sampai petang, k.su dengan family angkat dia balik dulu sebab ada hal. K.su pun perlu pulang ke gombak terus sebab nak kejar program lain. Busy sungguh kakak yang seorang tu. Jadinya, saya ditinggalkan di situ. Hehe.

Belum ada apa-apa perancangan untuk pulang, cuma fikir untuk balik malam tu terus memandangkan esoknya (ahad) sudah bekerja. Mulanya bercadang untuk bertolak dari kuantan ke kota bharu, tapi tak ada orang yang boleh tolong hantarkan. Takkan nak susahkan family pengantin pulak. No, no, no...

Then minta tolong aina, just ikut dia balik temerloh beli tiket di sana. Betul-betul buat keputusan drastik aci redah je. Kalau tak ada tiket tak ke naya? Huhu... Lebih kurang 8.30 malam baru sampai di terminal temerloh. Beli tiket terus, bas 9.30 malam. Tak sempat ke rumah aina. Takpelah, aina kahwin nanti k.jie pergi ye..;)

Sambil tunggu bas, kami ke secret recipe. Saja belanja aina. Berjam-jam dah aina drive, sangat penat kan? Maaflah cuma boleh jadi penumpang je, tak boleh tukar shift. -_-" Terima kasih sangat-sangat kat aina, siap teman naik bas dan tunggu sehingga bas bergerak. Terharu. :)

Sampai di kota bharu pukul 5 lebih, adik datang jemput. Pukul 5.30 pagi sampai di rumah, kemas barang sikit dan terus bersiap untuk ke tempat kerja. Penat dan mengantuk masih belum hilang tapi tetap terpaksa menggagahkan diri dengan tabahnya untuk ke office.


Again, tahniah adah! ^_^

p/s: kisah yang lebih detail (kena buat 3 entri) saya coretkan di sini. :)

Tuesday, May 17, 2011

MASS GATHERING MARUF CLUB 2010/2011



Assalamualaikum...


To all IIUM students, you are invited to our MASS GATHERING MARUF CLUB 2010/2011:

#19 MAY 2011 (THURSDAY)
#MINI AUDITORIUM (above Babush)
#8.30PM - 11.00PM
#VIDEO PRESENTATION AND SPECIAL SLOT
# STARPOINT WILL BE CREDITED

>REFRESHMENT ARE PROVIDED<

~DISCOVER THE BEAUTY OF ISLAM~
~INSPIRING DAKWAH, LEADING THE UMMAH~



Sufygirl: Walaupun saya tak ambil short sem dan tidak berada di UIA, tapi tetap tolong promote. Kepada sesiapa yang berkelapangan bolehlah menghadirkan diri ye.. :)

Saturday, May 14, 2011

Tautan dua hati. (◕‿◕✿)

Seperti kebiasaan, musim cuti seringkali mendapat undangan walimah daripada sahabat-sahabat, senior-senior, malah adik-adik juga. Semakin lama, semakin ramai pula yang melangkah ke alam rumahtangga. Maklumlah, umur pun semakin meningkat. Alhamdulillah, tahniah kepada yang telah dan akan menyempurnakan sebahagian dari agama melalui baitul muslim.


Berikut adalah senarai jemputan yang saya terima (macam apa je siap buat senarai, sebab banyak sangat). Ok kawan-kawan, sila rujuk tarikh-tarikh dan nama-nama yang berkenaan ye. ^^,

1) 30 April 2011: Lina Mursyidah (sahabat UIA, gombak)
2) 14 Mei 2011 : Shafiqah (sahabat nisa', Klang)
3) 21 Mei 2011 : Syuhadah engine (sahabat UIA, pahang)
4) 21 Mei 2011 : K.Munirah (senior UIA-dah grad, perak)
5) 28 Mei 2011 : K.Azziyyah (senior maahad, kelantan)
6) 29 Mei 2011 : K.Mahani (senior sekolah rendah & senior UIA, kelantan)
7) 29 Mei 2011 : Musnadzirah (sahabat ex-maahad, kelantan)
8) 29 Mei 2011 : Nadia (kawan+anak cikgu sekolah rendah, kelantan)
9)  3 Jun 2011  : Raihana IRK (sahabat UIA, kelantan) 
10)  3 Jun 2011 : Sylaty IRK & Asyraf LAW (dua2 sahabat UIA, kelantan)
11)  4 Jun 2011 : Amalina dentistry (sahabat UIA, terengganu)
12)  4 Jun 2011 : Hazwani medic (sahabat UIA, kelantan)
13)  4 Jun 2011 : K.Rashidah (senior UIA, kelantan)
14)  4 Jun 2011 : Basirah BAR (sahabat UIA, kelantan)
15)  5 Jun 2011 : Rahimah (ex-classmate UIA, perak)
16)  6 Jun 2011 : Zaiton dentistry (sahabat UIA, kelantan)
17) 11 Jun 2011 : Solehah & Naazir (dua2 junior UIA, pahang)
18) 11 Jun 2011 : K.Honeydayatie (senior UIA-dah grad, pahang)

Ada yang dah nikah baru buat majlis dan juga baru nak buat majlis menyambut menantu. Untuk bulan-bulan seterusnya masih belum ada dalam senarai.

Majoriti sahabat-sahabat UIA dari kelantan, terengganu dan pahang. Ada juga negeri lain. Tapi masalah juga bila tarikh keramat tersebut jatuh pada hari yang sama. Susah untuk membuat pilihan. Adeh~

Maaflah atas ketidakmampuan untuk memenuhi kesemua undangan disebabkan faktor-faktor yang tak dapat dielakkan. Sangat ingin pergi tetapi apakan daya. Huhu..

Saya kirim doa untuk kamu, berserta kasih sayang. Moga Allah redha.


"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri"
(Ar-Rum: 21)

Tuesday, May 10, 2011

Bila ada yang bertanya...

Pagi tadi, selepas dhuha di pejabat, saya berborak dengan seorang kakak. Dia sedang berehat di ruang solat.

"Jie memang selalu pakai jubah je ke?" Kak nik mula bertanya. Saya dah biasa dengan soalan sebegitu.

"A ah. Ada je baju kurung, tapi jarang sangat pakai." hampir tak langsung. Dah memang setiap hari pakai jubah je.

"Kalau macam..seluar ke... tak pakai?" saya cuma menggeleng. Rasa nak tergelak pun ada. Hehe.

"Ni kak nik nak tanya, boleh ke solat nampak tangan?" masa tu saya baru saja melipat sejadah.

"Tangan? Ni?" sambil menunjukkan bahagian pergelangan tangan.

"A ah. Sebab tengok jie solat macam ni je kan."

"Aurat perempuan kan selain muka dan tapak tangan je. Tapak tangan termasuk lah bahagian belakang tapak tangan ni. Maksudnya macam tulah. Kak nik tak tau ke?" Saya bertanya jujur. Musykil pulak, takkan tak tau kot?

"Ooo ye ke, kak nik tak tau. Tau la pasal tangan tu bukan aurat, tapi ingatkan dalam solat kena tutup." Tak sangka pula kak nik benar-benar tak tau. Saya selalu fikir, benda yang saya tahu, tentu orang lain juga tahu mengenainya, lagi-lagi yang lebih tua. Lagipun, pada saya itu cuma perkara basic. Tanggapan saya silap.

"Kenapa? Ada orang lain tanya jugak ke?" sekadar ingin tahu.

"A ah. Diorang tu la (kakak-kakak lain), ada jugak bercakap, tanya boleh ke solat macam ni je." sambil memandang saya.

"Sebab jie solat macam ni ye?" Saya membalas dengan soalan, memang tak pernah menggunakan telekung pun selama duduk di pejabat tu, dah terbiasa.

"Kalau tak boleh, takkan jie solat macam ni pulak kan? Pastu kak nik cakap, takpelah nanti ada masa kak nik tanya jie. Diorang segan kot nak tanya." kak nik menyambung sambil tersenyum. Saya turut tersenyum.

"Cantiklah sarung lengan jie tu."

"Ni? Jie beli kat mydin je pun." sambil membetulkan sarung lengan yang dipakai.


Lepas tu masuk bab purdah pula.

"Jie tau tak kat mana nak beli purdah?" berkerut saya mendengar soalan itu.

"Kenapa? Kak nik nak beli purdah ke?" soalan yang dijawab soalan.

"Takde...kawan kak nik tanya semalam. Tak taulah dia tergerak hati nak pakai purdah kan. Dia ada tanya kak nik. Pastu kak nik cakap, takpelah nanti tanya adik yang praktikal kat ofis. Tu yang kak nik tanya jie ni."

"Ooo. Rasanya ada kot jual, tapi tak tau kat mana, sebab tak pernah beli."

Berbincang soal purdah pula. Apa yang kak nik tanya, saya jawab setakat yang termampu. Berkongsi pengalaman juga.

"Kalau kawan kak nik nak, jie boleh tolong jahitkan. Nanti bagi je kain." saya menawarkan diri.

"Jie pandai jahit ke?"

"Memang jie jahit sendiri pun, tak pernah beli. Beli kain je, lepas tu jahit tudung dengan purdah terus." saya menyambung.

"Ok, kalau macam tu nanti kak nik bagitau kawan kak nik tu."

Tak sangka pula kakak ni akan bertanya hal-hal seperti itu, tak pernah terfikir pun. Moralnya, berkongsilah apa yang kita tahu, dan bertanyalah apa yang kita tak tahu. Sedikit demi sedikit, saya mula 'masuk' dengan kakak-kakak di pejabat tu.

Sabtu ni ada program Minggu Perpaduan Peringkat Negeri, dari awal pagi sampai petang. Petang jumaat akan buat persiapan tempat, pasang khemah, rehearsal, etc. Banyak perkara yang perlu diselesaikan. Call pegawai-pegawai yang terlibat, agensi-agensi, media, semua ketua polis daerah, dan lain-lain. Dah rasa macam jadi operator pulak, lepas tu ulang dialog yang sama. Huhu...

Semoga semuanya akan berjalan lancar, insyaallah.


P/s: Balik dari ofis, ada sebuah bungkusan yang baru sampai di rumah.
Buku "Mukmin Profesional" hadiah dari seorang kenalan. 
Seronoknyeee...thanx a lot! *wink3* ^___^



SALAM itu umpama baja, SENYUMAN itu umpama air,

BERJABAT TANGAN itu umpama cahaya di kebun cinta...
Insyaallah, jika kebun cinta selalu diairi, dibajai dan diberikan cahaya,

maka perasaan kita akan selalu GEMBIRA...(◕‿◕✿)

Monday, May 9, 2011

Parasit Hati

Awas, parasit yang seperti itu sentiasa ada. Kenali dia dan menghindarlah jauh-jauh tanpa bermusuh. Jangan buka ruang dan peluang untuk dia mencelarukan hidup mu.

Jangan biar dia mengelirukan pertimbangan mu. Dia itu pandai berkata dan licik bercerita. Cerita yang memikat. Kata yang mengikat. Dia seolah-olah sahabat terapat... tetapi rencananya busuk sekali. Dalam diam dia bijak melaksanakan dendam. Bagaikan api di dalam sekam!

Mungkin kita tidak pernah menjangka orang yang begini wujud. Jika anda lurus, tulus tetapi tidak berhati-hati... anda akan serahkan segala-galanya kepada dia. Kepercayaan, kesetiaan dan harapan, anda pertaruhkan kepadanya. Dia itu bijak menghulur, tetapi tiba-tiba dia akan menyentak dan anda akan tersentak.

Dia kah itu? Mungkin dia berwajah jernih, murah senyuman dan pandai menabur simpati. Lalu anda akan terkesima dalam terpedaya. Sudah nyata tetapi seakan masih tidak percaya. Dia kah itu?

Beringat-ingat, ketika dia bercerita tentang orang lain, satu ketika orang lain pula akan mendengar cerita mu. Dia bijak mengatur bidak, menjolok yang sana untuk menjatuhkan yang sini. Atau menyanjung yang sini untuk memancung yang sana.

Di mana pun dia mudah mendapat kawan, kerana simpati, empati dan kata-katanya sangat menawan. Terlalu lama masa untuk mengenal warna dia yang sebenar. Hanya bila anda mula menjarak, barulah rupanya yang sebenar terserlah.

Jangan takut dan rugi untuk menjauhinya. Dia hakikatnya "parasit" pada hati mu dan diri mu. Dia akan sentiasa memperalatkan dan punya dua wajah yang boleh diterima oleh dua atau tiga pihak yang saling bertelagah.

Jika permusuhan orang lain menguntungkannya, dia menjadi batu api. Jika perdamaian orang lain memberi manfaat, dia akan kelihatan sebagai juru damai yang begitu cinta keamanan. Tetapi hakikatnya bukan orang lain yang menjadi sasaran kebaikan, tetapi dirinyalah jua yang meraih keuntungan.

Aku menulis ini justeru ada pertanyaan. Aku enggan menulis tentang watak "hitam" dalam kelompok manusia seperti dia. Aku pun bukan "malaikat" yang serba suci dan tidak punya kesalahan. Tetapi berdasarkan ilmu dan pengalaman yang secebis, anda, aku dan kita pasti menemui orang-orang seperti ini dalam pergaulan.

Jika tidak setuju, dia senyum, manis seolah-olah setuju. Tetapi belakang kita lain bicaranya. Jadi, jangan ada apa-apa hubungan dengannya... biarkan dia berlalu sebagai "tanda jalan" dalam musafir hidup mu!

Cinta jangan keterlaluan, benci jangan sekali. Namun berhati-hati itu sangat perlu... pembeza antara sangka baik dan waspada. Sangka baik itu dituntut, waspada itu perlu. Jangan tertipu dengan senyuman.Jangan melulu oleh kemarahan.

Sebaik-baiknya aturlah perasaan agar sentiasa di pertengahan. Agar diri sentiasa dalam kawalan. Pintalah hidayah, pohonlah taufik, untuk mencari kesetiaan dalam amukkan badai kemunafikan.

Maaf kiranya bicara ku ini dibauri bunga-bunga bahasa. Sengaja ku kelamkan makna di balik sulaman kata-kata. Bukan tidak mahu berterus terang... tetapi sekadar "melembutkan" pendekatan. Ya, mana mungkin air najis akan membersihkan najis?

Mana mungkin satu keburukan dihapuskan oleh satu keburukan yang lain? Cuma aku tidak mampu berdiam. Sebagai manusia biasa, hati kita bukankah umpama kuah yang sedang menggelegak? Ada kala dingin seperti salju, tetapi ada masanya bagaikan lahar berapi yang sedia meledak!


Ah, biasa ilmu akan datang memujuk kita. Ditayangkan di depan mata akan keburukan sendiri, lalu ketika itu kaburlah kesalahan orang lain. Teringat pesan Imam Ghazali RHM, jika yang melakukan kemungkaran itu orang muda... kau katakan, dia masih muda. Masih sedikit dosa dan kesalahannya. Berbandingkan kau yang telah tua, yang terlalu pekat oleh maksiat. Dia masih punya masa untuk taubat. Sedangkan kau sudah berada di garis penamat.

Jika yang melakukan kejahatan itu sijahil, kau ingatkan diri mu bahawa dia melakukannya kerana tidak tahu.

Sebaliknya jika kau melakukan kejahatan, kau melakukannya dengan ilmu, dalam sedar, dalam tahu. Oleh itu dosa mu adalah terlalu. Takutilah parasit hati... yang berasal daripada hati mu sendiri!

Ya, sekali lagi... pandanglah dulu onar diri mu. Parasit hati itu tidak akan mampu merosakkan mu jika kau sentiasa:
1. Solat berjemaah.
2. Sentiasa berzikir.
3. Berdamping dengan Al Quran.
4. Melazimi taubat dan berselawat.
5. Sering bersedekah.

Itulah perisai hati yang akan melemahkan parasit hati!

~Tulisan ust pahrol md juoi~

Saturday, May 7, 2011

Semakin banyak belajar.

Setiap hari kita boleh belajar sesuatu yang baru. Daripada orang-orang di sekeliling, tanpa mengira usia. Belajar itu kan satu proses yang berterusan.

3 minggu berlalu, masih berbaki selama 9 minggu. Pengalaman bekerja, juga bergaul dengan orang-orang di tempat kerja. Tentunya bermacam ragam dan sikap. Ambil yang baik, tinggalkan yang buruk. Mudah je.

Semakin mengenali rakan-rakan sepejabat yang kebanyakan umurnya jauh lebih tua dari saya. Walaupun berpangkat ibu dan bercucu, tapi tetap menggunakan panggilan kakak. Dah semua orang panggil macam tu, takkan saya nak panggil mak cik pula. :)

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

"Nak solat ye? Telekung ada ni, ambillah kalau nak pinjam. Mana-mana pun takpe. Pakai je." Kak Nun mempelawa semasa saya masuk ke ruang solat. Kakak-kakak lain juga berada di situ.

"Takpelah kak, jie solat macam ni je." Saya menolak dengan baik.

"Tak nak guna telekung? Kalau nak guna amik je ye." Kak Min menambah.

"Takpe2, jie memang dah biasa solat macam ni je. Kat masjid UIA pun sama, selalu solat macam ni je." Saya menjelaskan. Ada orang, tak biasa dan nampak pelik bila solat tanpa menggunakan telekung.

"Owh, senanglah kan, dah pakai jubah dan tudung labuh, pakai stokin. Tak payah pakai telekung dah." Giliran Kak Jie bersuara. Ada seorang kakak yang sama nama panggilan dengan saya. ;)

Mereka semua ramah.

"Duduk sini tak boleh malu-malu. Kalau nak minum ke apa, masuk je dapur, boleh buat air sendiri. Jangan segan-segan," sewaktu hari pertama saya masuk pejabat. 

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * 

Kak ros banyak bagi tunjuk ajar dan nasihat. Seorang yang sentiasa rilex walaupun tengah banyak kerja, tak nampak kelam-kabut pun.

Tak dinafikan, ada yang suka bercerita tentang sikap atau perangai orang lain, berkata itu dan ini, biasalah manusia. Tapi saya mengambil sikap berkecuali, tidak menyebelahi mana-mana pihak. Ada yang mempunyai masalah disiplin, ada juga yang tekun bekerja.

Dengan semua orang pun saya berkawan. Cuba buat-buat tak nampak kalau ada keburukan yang terlihat, dan pandang kebaikan yang dia buat. Be neutral.

Macam kak ros kata, "Tak kisahlah orang nak cakap apa, yang penting kita buat kerja kita. Kadang-kadang sibuk mengata orang, tak sedar diri sendiri pun begitu juga. Sebab tu kak ros lagi suka berdiam diri, tak nak masuk campur hal orang." 

Sambil membuat kerja, sambil mendengar. Saya ditempatkan di bahagian yang sama dengan kak ros, jadi banyak berurusan dan tolong dia. Pun dah mula selesa dengan kakak ni. :)

"Macam ni lah jie, bila dah kerja. Jie pun boleh fikir, kan? Boleh beza mana baik, mana buruk..." saya sekadar mengangguk, mengiyakan kata-kata kak ros.

Dengan kakak-kakak, awal-awal lagi saya dah bagitau nama panggilan. Dan lebih selesa membahasakan diri sebagai "Jie" bila berbual. Tapi dengan abang atau pak cik, seganlah pula. Panggil 'Nazirah' cukup.

Semasa berkursus minggu lepas, ada seorang abang yang juga urusetia panggil saya "Ra". Adeh, sabar jelah... -_-" Sekarang ni kebanyakannya dah panggil nama panggilan. Tak kisahlah. Huhu. Saya pun dah tak kekok dan kurang segan bekerja bersama. Siap boleh buat lawak lagi. Tapi still control sopan. :P

Minggu depan terlibat dengan program pula, peringkat negeri. Banyak perkara yang perlu diuruskan. Siapkan surat dan kad jemputan untuk VIP (tolong kak ros), contact pegawai-pegawai dan agensi-agensi yang terlibat, etc. Esok perlu menghadiri mesyuarat di pasir mas. Macam sibuk sangat je, huhu... Tapi seronok bekerja, alhamdulillah. :)

Ini pula kisah pengalaman bekerja fiza. Budak tu memang senang masuk dengan orang, happy go lucky je. Selamat bekerja dan selamat belajar! Tak lupa kepada sahabat-sahabat yang mengambil short sem, selamat kembali ke kampus. Rindu UIA~


"Manusia menyangka doa mereka tidak dimakbulkan, sedangkan sebenarnya ia dimakbulkan melebihi daripada apa yang dipohon, atau ia menolak dengan musibah atau penyakit lebih banyak daripada apa yang dipinta atau diberikan ganjaran pada hari Kiamat"
~Hukama~

Thursday, May 5, 2011

♥ Jalan Cinta Para Pejuang ♥


Di sana, ada cita dan tujuan 
Yang membuatmu menatap jauh ke depan 
Di kala malam begitu pekat 
Dan mata sebaiknya dipejam saja 
Cintamu masih lincah melesat 
Jauh melampaui ruang dan masa 
Kelananya menjejakkan mimpi-mimpi 

Lalu disengaja malam terakhir 
Engkau terjaga, sadar, dan memilih menyalakan lampu 
Melanjutkan mimpi indah yang belum selesai 
Dengan cita yang besar, tinggi, dan bening 
Dengan gairah untuk menerjemahkan cinta sebagai kerja 
Dengan nurani, tempatmu berkaca tiap kali 
Dan cinta yang selalu mendengarkan suara hati 

Teruslah melanglang di jalan cinta para pejuang 
Menebar kebajikan, menghentikan kebiaaban, menyeru pada iman 
Walau duri merantaskan kaki, 
Walau kerikil mencacah telapak 
Sampai engkau lelah, sampai engkau payah 
Sampai keringat dan darah tumpah 

Tetapi yakinlah, bidadarimu akan tetap tersenyum 
Di jalan cinta para pejuang 

Salim A. Fillah 

Sufygirl: Currently reading this book. Sangat best! :')

Wednesday, May 4, 2011

Fikir. Rasa.

Hari-hari pandang langit pun tak pernah jemu. Kenapa ye? :)

Sebelum ini, berjalan kaki ke kelas, mesti akan pandang langit. Cerah, indah. Suka melihat kepulan awan yang terbentuk cantik. Sekarang, menumpang kakak (jiran) ke tempat kerja, juga selalu pandang langit. 

Memerhati gumpalan awan di dada langit. Satu perasaan damai menyimbah di jiwa. Terasa lapang.



بَدِيعُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ‌ۖ وَإِذَا قَضَىٰٓ أَمۡرً۬ا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ ۥ كُن فَيَكُونُ


"Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya) dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: Jadilah engkau! Lalu menjadilah ia."
(Al-Baqarah 2:117)  

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * 

"Awak selalu tenang je ye? Tak gelabah dan kalut?" 


Sengaja melontarkan soalan itu. Sebab kebanyakan bicaranya kelihatan tersusun.


"Ikut iman. Ibadah banyak ana tenang la. Kalau tak, serabut juga." dia membalas.


Allah... 


Banyak perkara yang berlaku, yang buat saya terasa, terkena, dan termalu sendiri. Halus sungguh cara Allah tegur.


Muhasabah lagi.


Tapi saya bersyukur kerana masih ada perasaan itu. Masih ada rasa 'bersalah' dan 'tak sedap hati'. Alhamdulillah. Mungkin Allah nak tegur melalui perantaraan sahabat-sahabat di sekeliling. 


Peluang untuk berubah dan perbaiki diri sentiasa terbentang luas. Sama seperti pintu taubat yang sentiasa terbuka andainya ada hamba Allah yang tersasar dari jalan-Nya.



Mintalah fatwa pada hatimu, 
kebaikan adalah sesuatu yang membuat hatimu tenang dan keburukan adalah sesuatu yang membuat hatimu gelisah.
(Hadis riwayat Ahmad dan al-Darimi)

Kalau Dia nak tegur, mudah je. Kadang-kadang melalui cara yang tak disangka-sangka. Even kita tak sedar pun benda tu berlaku. Kan?


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * 


Tadi ada menasihatkan seorang adik. Sembang banyak perkara juga, bermula dengan tentang purdah dan akhlak.


Kata adik ni, "Kadang-kadang susah nak kawal perasaan, asyik nak marah je."


Lalu saya membalas, "Kita yang kena kawal emosi, bukan emosi yang mengawal kita. Tapi akak sendiri pun kadang-kadang emo jugak. Perasaan marah tu dah boleh dikawal, cuma rasa sedih je still tak boleh dikawal. Actually akak baru lepas menangis tadi. Huhu.." Tiba-tiba je kan? -_-"


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * 


Bercampur-campur benda yang saya tulis. Sebab perasaan pun begitu juga, sedang teradun dengan pelbagai rasa.





Rindu, merindu, dirindu. Biar tenggelam, terus ku tahan. 
Biar menangis, terus menahan. 
Letih. 
Aku genggam kata, seperti nabi Yaaqub yang mencinta, 
"Maka bersabar itu cantik", secantik hari esok. 
Dan aku sentiasa menunggu hari esok itu...

~Akankah wujud 'hari esok' itu untukku?~ 
ALLAH...really need YOU!