Followers

Wednesday, May 25, 2011

Aku Bukan Perempuan Itu...II

Tatkala perempuan lain sibuk menunggu dan membalas SMS cinta. Aku mengatakan. Aku bukan begitu.


Kerana aku perempuan yang punya hala tuju. Aku tidak akan membazirkan masa mudaku untuk perkara yang langsung tidak bermanfaat untuk akhirat! Hanya keseronokan sementara. Hanya mengenyangkan nafsu.

Oh, aku bukan begitu. Kerana aku mahu sibuk menelaah ilmu. Menggali ilmu Fardu Ain dan juga yang berkaitan dengan hukum syarak. Menjadi seorang wanita yang beramal dengan ilmunya.

Mencontohi Saidatina Aisyah a.s yang cukup cerdas dan cerdik dalam mengeluarkan fatwa. Sehingga menjadi antara rujukan dalam urusan berkaitan hal ehwal masyarakat dan hukum hakam. Itu semua berdasarkan ilmunya.

Sehingga membawa aku untuk berfikir sejenak. Alangkah bodohnya diri andai melayan cinta palsu yang berlandaskan nafsu sedangkan terlalu banyak ilmu yang belum aku teroka.

Aku tidak suka melayan perasaan yang sia-sia sedangkan 'dia' telah ditakdirkan buatku. Aku mahu menjadi perempuan yang matang dengan ilmunya. Dengan ilmunya makin terasa manis akan ibadat. Makin terasa semakin dekat dan erat dalam dakapan kasih Allah. Dengan ilmu yang mewujudkan perasaan khauf, takutkan Allah.

Tatkala perempuan lain ada yang materialistik terhadap wang. Aku mengatakan. Aku bukan begitu.


Kerana aku perempuan yang materialistik terhadap pahala. Mahu akaun akhirat kaya dengan amal soleh. Setiap detik bagiku amat berharga untuk aku lakukan sesuatu yang dipandang oleh-Nya. Kerana aku mahu menjadi wanita syurga! Itu bukan sekadar madah penyedap kata. Bukan sekadar omong kosong. Ini cita-cita tertinggi aku.

Kerana aku perempuan yang berfikiran jauh. Berpandangan jauh ke hadapan. Aku benar mahu cinta-Nya. Terkadang aku terfikir. Andai aku di tempat Masyitah yang dipaksa terjun ke dalam minyak panas semata-mata untuk mempertahankan keimanan, apakah aku kuat sepertinya? Atau mungkin aku akan lari atau mungkin aku akan... entah. Aku menangis...

Aku mahu seperti Rabi'ah al-Adawiyah. Cintanya terhadap Kekasih Agung begitu mengagumkan. Sehingga dengan ujian dia merasa gembira. Benar reda dan tidak merungut walaupun ditimpa musibah. Diculik dan menjadi hamba kepada raja yang zalim.

Apakah aku mampu seperti sufi wanita ini. Yang memperkenalkan apa itu falsafah Cinta Ilahi sehingga tiada cinta manusia di hatinya kerana cintanya yang terlalu mendalam terhadap Yang Satu. Tetapi aku... Aku menangis lagi..

Aku menangis.. Menangis.. Menangis.. Namun, tangisan ini membuatkan aku kembali kuat. Menyedarkan aku daripada lamunan. Kerana aku bukan perempuan yang mudah menyerah kalah! Allahuakbar! Aku tidak kenal erti jatuh yang tidak bangun. Aku bukan perempuan yang begitu. Lembik. Lemah!

Aku bukan perempuan lembik yang lemah. Mengada-ngada. Tidak mampu untuk hidup berdikari dan yang hanya bergantung kepada orang lain. Aku bukan perempuan yang penakut dan pengecut! Aku bukan perempuan yang mudah kalah terhadap cabaran!

Aku mahu menjadi perempuan yang lembut. Yang mempunyai hati yang kuat. Yang tidak lari daripada cabaran dunia tetapi menghadapinya dengan berani. Dengan bersandarkan keyakinan Dia sentiasa di sisi, aku tidak akan takut menegakkan kebenaran. Mempunyai hati yang bisa dilentur namun tak mudah untuk dipatahkan. Aku perempuan yang mampu berpijak atas kaki sendiri.

Akan ku kesat air mata ini dengan semangat baru. Semangat yang lahir dari kekuatan yang dihembus-Nya. Aku tidak akan begitu mudah menurut kata nafsu. Aku perempuan yang ditarbiyah. Mampu mempertahankan maruah sendiri daripada tergadai oleh godaan duniawi. Aku ada Dia. Cukup.


Aku tidak mahu neraka. Aku mengatakan. Itu bukan aku. 
Kerana aku perempuan yang mahukan syurga.
"Barang siapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, 
Dia akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. 
Dan itulah kemenangan yang agung."
[An-Nisa', 4 : 13]


sumber: iluvislam.com

1 comment:

tajnur said...

Assalamualaikum wbt
Allah SWT telah berfirman bahawa petunjuk pasti akan sampai kpd kita (Surah AlBaqarah:38فَإِمَّا يَأۡتِيَنَّكُم مِّنِّى هُدً۬ى فَمَن تَبِعَ هُدَاىَ فَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡہِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ Maka adapun ia pasti datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.
Disinilah kewajipan kita mempelajari ALQuran sbgmana Allah SWT perintahkan (Surah AlQasas:85 إِنَّ ٱلَّذِى فَرَضَ عَلَيۡكَ ٱلۡقُرۡءَانَ لَرَآدُّكَ إِلَىٰ مَعَادٍ۬‌ۚ Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (beramal dan menyampaikan) Al-Quran (wahai Muhammad) sudah tentu akan menyampaikan engkau lagi kepada apa yang engkau ingini dan cintai.
Ukuran mempelajari Islam dan AlQuran adalah sebagaimana Rasulullah saw dan para sahabat r.anhum iaitu beriman dengan setiap kalimat AlQuran jika ingin hidup dengan berpetunjuk dari Allah SWT (Surah Al`Araaf:158 فَـَٔامِنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِ ٱلنَّبِىِّ ٱلۡأُمِّىِّ ٱلَّذِى يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَڪَلِمَـٰتِهِۦ وَٱتَّبِعُوهُ لَعَلَّڪُمۡ تَهۡتَدُونَ Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya) dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayat petunjuk.
Wallahualam