Semalam pergi rumah arwah k.hajar, saja ziarah mak cik. Lepas majlis tahlil hari tu pernah pergi sekali, lama dah kot. Jam 11 pagi bertolak dari uia, kemudian naik lrt dari terminal putra ke kelana jaya, hentian yang terakhir. Memang agak jauh, hampir sejam perjalanan.
Sampai di sana mak cik jemput kami dengan kereta, dua round, dua kali angkut. Saya dengan sahabat-sahabat lain-rafi, ruzaini, wan, yani, lina, if, dan laila, 8 orang muslimat. Junaidi adik angkat arwah ikut sekali, menjadikan jumlah kami 9 orang.
Sampai di rumah mak cik dah dekat zohor, solat jemaah sama-sama. Lepas solat kami baca yasin ramai-ramai untuk arwah. Terasa macam k.hajar masih ada… memang dia sentiasa ada dalam hati kami.
“Akak, saya rindukan akak…” hati saya berbisik.
Mak cik layan kami macam anak-anak dia sendiri. Ingatkan saya dengan kawan-kawan je yang ada. Then saudara-mara terdekat dia datang jugak, agak ramai la masa tu, macam buat kenduri pulak. Banyak mak cik masak. Adik arwah yang belajar kat UM sekarang pun ada, tengah cuti.
Lepas makan, duk sembang-sembang, borak-borak dengan mak cik & family dia. Asar pun solat kat sana. Tak lama lepas tu baru pak cik balik.
"Dah lama sampai?" tegur pak cik sebaik saja melangkah masuk.
"Lama dah, dah habis makan pun..." kami menjawab. Hujung minggu pun pak cik keluar, ada urusan. Maklumlah orang sibuk.
“Study macam mana? Ok kan?” tanya pak cik, kami senyum je.
“Belajar betul-betul, jaga result. Tapi perjuangan jangan tinggal, penting tu. Dua-dua kena jaga, kena seiring. Kamu jangan baca buku pelajaran je, buku-buku lain kena baca jugak. Ada orang, dia fikir rugi je kalau baca buku-buku lain selain buku-buku akademik, rugi masa study, lebih baik mengulangkaji. Salah tu. Kena pelbagaikan jenis bahan bacaan, baru berkembang pemikiran. Jangan hanya study atau baca buku untuk exam je. Otak kita pun perlukan rehat juga. Tak semestinya baca bahan ilmiah, bahan bacaan ringan pun takpe..." Semua diam mendengar.
“Kita kena buat sesuatu yang baru dalam hidup ni. Kalau hari-hari buat benda yang sama, kamu akan boring, betul tak?” ada yang mengangguk. Sama jugak dengan belajar, kadang-kadang kena tukar suasana.
“Perkara yang rutin, lama-lama akan bosan. Cuba berhenti sekejap, buat sesuatu yang berbeza, yang kamu tak pernah buat, kemudian baru teruskan tugasan harian. Benda tu akan jadi inspirasi untuk kita, jadi sumber motivasi dan semangat. Cari inspirasi untuk buat kerja, untuk belajar. Tapi jangan pulak berhenti tiap-tiap dua jam dan asyik buat benda lain, nanti tak jadi kerja pulak, tak study la kamu.” Sambung pak cik lagi. Banyak yang pak cik cakap, semuanya kata-kata nasihat dan perangsang untuk kami.
“Pak cik ingat nak beli rumah kat shah alam. Tak boleh rumah ni, asyik terbayang siti hajar je…dari awal lagi kat sini, sampai dia takde…” khali seketika.
“Pak cik dah ok?” ruzaini bersuara.
“Pak cik memang ok, dari hari pertama hajar ‘pergi’, memang pak cik ok je." ujarnya sambil tersenyum.
“Dia pergi dalam keadaan baik, susah nak pergi dalam keadaan macam tu, ‘standard’ tinggi tu. Yang pak cik risau kita yang ada sekarang ni, tak tau lagi macam mana penghujung kita nanti." pak cik memang redha dari awal pemergian arwah.
“Semua orang pun akan meninggal, akan hadapi kematian, tak perlu nak takut. Cuma cepat atau lambat je, dan kita tak tau bentuk kematian tu macam mana. Kena sakit jantung ke, mati syahid ke, semua tetap akan mati. Kalau diberi pilihan kita nak yang mana? Tentu nak dalam keadaan yang baik, kan? Kena sentiasa berjinak-jinak dengan perkataan ‘mati’ ni, ingat kematian selalu, dan buat persediaan.” Panjang lebar pak cik ‘ceramah’ petang tu. Arwah dan adik-adik memang sangat bertuah mempunyai ayah yang secekal dan setabah itu.
Jam 6 lebih baru balik.
“Kesian mak cik, setiap kali datang, setiap kali jugaklah kena jemput dan hantar kitorang”. Ucap ruzaini.
“Takpe je…” mak cik senyum, sambil terus memandu. Kejap je, lebih kurang 5 minit kot.
“Nanti datanglah lagi…” ujar mak cik semasa kami bersalam dengannya. Saya agak mengantuk masa tu, memang mengantuk pun sebenarnya. Setengah jam lebih dalam lrt asyik tersengguk-sengguk je, dan terlelap. Sampai terminal putra dah nak masuk maghrib. Last-last balik naik teksi, tunggu bas lambat sangat.
Sahabat-sahabatku, semoga kita terus tabah meneruskan hidup ini... Perjalanan masih jauh, perjuangan masih panjang... Kita ada tugas yang belum selesai, ada amanah yang perlu digalas, dan ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan... K.hajar, semoga akak tenang di sana…al-fatihah…
5 comments:
salam. kak ji, sedih x dpt join. huhu~
munadhia,
ws..xpe, dik. jangan sedih2, len kali kte g ziarah mak cik lagi ye..=)
betul..zai pun terasa arwah masih dekat. kadang2 bila teringat jadi sayu..bila agaknya time kt? macamana waktu tu nanti..
maria_adam,
k.jie pnh mimpi psl arwah, padahal bknnya duk fikir sangat pn ms 2..
byk sgt kenangan, memori..
"Allahummakhtimlana bihusnil khatimah...ameen..."
Salam... k.ji, rindu akn kakak yg satu ni..
Jujurnya, hampir setiap hari adik pasti teringat kn arwah.. Bkn teringat apa, cuma bila buat sesuatu, teringat akan pesanan2 arwah. Ingatan harian tu mmg tak dpt nak elakkan..
Smg ingatan kt bertukar menjadi doa' sentiasa..
Post a Comment