Followers

Saturday, May 30, 2009

"Sentuhan tarbiyyah dari Allah"



Saat saya lalai dan alpa, Dia datangkan peringatan dan teguran. Saat saya rasa lemah dan ingin jatuh, Dia datangkan sahabat-sahabat untuk menjadi penguat diri ini. Dia tak pernah jauh, tapi saya yang semakin jauh dari-Nya. Jiwa ini kadang-kadang terasa kosong, hambar…


“Ya Allah, aku cuba untuk mendekati-Mu…” hati saya bermonolog.

“Hidup ini telah ‘diprogramkan’ mengikut perancangan-Nya. Tiada siapa yang mampu mengubah qadha’ dan qadar Allah. Itulah lumrah alam, itulah sunnatullah. Setiap musibah dan ujian yang dihadapi adalah tarbiyyah dari Allah, yang Dia telah aturkan. Inilah proses tarbiyyah sebenar yang perlu dilalui.”

Pengisian usrah petang tadi benar-benar menyedarkan saya, hati terasa benar-benar terisi. Diri ini tersentak, seakan baru tersedar. Tidak sedikit istifadah yang dapat saya ambil. Jiwa yang kontang telah disiram dengan ayat-ayat suci al-qur’an, kami sama-sama bertadabbur kalam suci itu. Dan peringatan demi peringatan yang dikongsi membawa kami berfikir tentang kebesaran dan keagungan Allah.

“Jauhkah aku dari-Mu?” hati saya berbisik lagi.

“Akak nak adik-adik renung sejenak, apakah ujian yang paling berat yang pernah dihadapi? Apakah ujian yang paling sakit dalam hidup ini? Cuba fikir…” khali. Minda saya cuba mengimbas peristiwa-peristiwa yang pernah dilalui sebelum ini. Adakah ujian itu berupa ‘sakit’ dari sudut emosi yang menuntut kesabaran, atau sakit dari segi fizikal? Mana yang lebih sukar?

“Kemudian fikir apa pengajaran yang adik-adik boleh ambil daripada ujian tersebut. Kalau kita tak mampu jadi lebih baik, maknanya kita dah ‘failed’. Sama macam kena repeat subjek. Nak ke repeat benda yang menyakitkan tu? Tentu tak nak, kan? Jadi kita sepatutnya boleh jadi orang yang lebih baik selepas melalui proses tarbiyyah dari Allah. Fikir apa yang Allah nak ajar melalui ujian yang diberikan tu.”

Kata-kata itu tembus ke dasar hati, mengalir di relung kalbu. Selama ini, adakah saya berfikir begitu? Adakah saya benar-benar merasakan Allah telah mentarbiyyah saya? Dan adakah saya ‘lulus’ ujian tersebut, atau ‘gagal’?! Saya bertanya diri sendiri. Begitu halus teguran dari-Nya. Sama ada sedar atau tidak, peringatan itu memang sentiasa ada, melalui sahabat-sahabat dan orang-orang sekeliling.

Tarbiyyah, suatu proses yang berterusan. Fikirlah apa yang Dia ingin ‘sampaikan’ melalui ujian yang diberikan. Terima kasih, ya Allah…

“Sungguh beruntunglah orang mukmin. Apabila diberi nikmat dia bersyukur, dan apabila ditimpa musibah dia bersabar…”

No comments: