Followers

Friday, October 30, 2009

Pemilik jiwa itu lebih menyayanginya...


Sudah seminggu arwah nenek meninggalkan kami. Sesekali kesedihan bertandang mengusik emosi. 
“Nenek dah tak ada.” Begitu kata abang sewaktu menghubungiku khamis lepas. Aku tersentak. Kelu seketika. Tiada kata-kata yang mampu kulafazkan melainkan esakan. Tangisanku pecah jua akhirnya. Aku menangis tersedu-sedan. Air mataku mengalir deras membasahi pipi. Duniaku terasa kelam, bagai tidak berpijak di bumi yang nyata. 
Nenek berusia 77tahun, sakit tua, meninggal malam jumaat. Pagi itu aku segera pulang bersama dua orang abangku. Terima kasih untuk fathi dan taqi yang menghantarku seawal 4.30pagi ke kl sentral. Juga azlina dan haslinda yang menemaniku waktu itu. Aku bertemu abang di sana. Kami kemudiannya menaiki bas menuju ke KLIA.
Penerbangan mengambil masa kira-kira 45 minit. Hampir 10 pagi kami sampai di rumah. 
Setibanya rumah nenek (cuma bersebelahan dengan rumahku), aku lihat adik dan sepupuku sedang membantu mak cik (yang memandikan mayat) memandikan jenazah arwah. Aku menggagahkan diri maju ke depan. Pada mulanya aku hanya memerhati. Aku pujuk diri untuk bersabar. Aku harus kuat menghadapi situasi ini.
Paip getah bertukar tangan, aku mengambilnya dari adik. Setitis mutiara jernih gugur jua akhirnya. Aku membantu mereka memandikan jenazah nenek. Hatiku sayu, aku tidak mampu menahan sebak. Air mataku mengalir tanpa dapat diseka, bagaikan empangan yang pecah. 
Aku benar-benar teruji dengan keadaan ini. Aku tidak mahu menangis, tapi aku tewas. Berkali-kali aku mengesat air mata dengan hujung tudung dan lengan jubah, namun pipiku tetap basah. Sepupuku di sebelah juga mula mengesat air mata.
Kami melakukannya dengan perlahan-lahan dan berhati-hati. Kami menjaga auratnya agar tak tersingkap. Arahan mak cik kami turuti. Terasa sejuk badan arwah, wajahnya kulihat bersih. 
Setelah selesai membilas dan mengambil wudhu’ untuk arwah, abang, adik, dan sepupuku mengangkat jenazah untuk dikafankan.
Sekali lagi hatiku dipagut sayu. Kali ini lebih hebat. 
“Ya Allah, beratnya ujian-Mu…!” hatiku berbisik, aku sendiri sedang menahan esakan. Aku tidak mahu menangisi pemergian satu-satunya nenek yang aku ada, namun aku juga manusia biasa yang punya perasaan. Segala-galanya berlaku dengan pantas. 
Aku hairan, ibuku langsung tidak menangis. Begitu sekali cekalnya hatimu wahai ibu? Wanita itu telah bergelar yatim piatu. Ibu memang tabah.
Aku berusaha untuk menghentikan tangisan ini. Begitu juga sepupu2 dan adik-beradikku yang lain. Abang, kakak, adik, ramai lagi saudara-mara lain yang berada di situ. Nenek telah siap dikafan. 
Akhirnya aku maju ke depan, duduk di hadapan jenazah, aku kucup pipi dan dahi nenek. Sejuk. Ibuku tetap tidak menangis. 
Apabila seluruh badan nenek dikafankan sepenuhnya, hatiku terasa sangat pedih. Aku rasa mahu menjerit ketika itu, namun akalku masih waras mengawal emosi. Kenangan demi kenangan mula terbayang di hadapan mataku, satu demi satu babak yang muncul. Aku masih belum berbakti untuk nenek, tapi dia sudah pulang menemui Tuhannya.
Kini, hanya doa yang mampu ku titipkan. Dan surah yassin menemaniku saban malam untuk kuhadiahkan buat arwah. 
Semoga arwah nenek tergolong dalam golongan hamba-hamba-Nya yang beriman. Semoga rohnya dicucuri rahmat Ilahi, ameen…al-fatihah…:’(

2 comments:

pelik said...

Salam ta'ziah buat nazirah .Air mata yg mengalir itu adalah rahmat . Nabi kata sesiapa yg tak mengalir airmatanya dengan perginya seseorang itu, menunjukkan hati orang itu keras hati.yg nabi larang iaitu meraung atau berbiji soba'(koyak2 baju).dgr satu cerita ada sorang tuk guru dia mengjar hebat ,ramai orang suka .suatu hari isterinya meninggal .dia pun mengkurungkan diri dalam rumah .orang nak jumpa pun tak dapat .puas org pujuk dia suruh mengajar kembali tetap tak mahu juga .akhirnya ada sorang perempuan datang ke rumahnya dengan alasan nak tanya hukum .tuk guru pun suruh dia tanya kat luar saja sedangkan tuk guru ada didalam rumah .dia tanya =saya ada pinjamkan sorang kawan saya barang ,tiba2 ketika saya nak mintak balik dia marah saya dia kata nanti kalau saya tak mahu pakai lagi baru saya pulangkan balik , maka boleh ke gitu ,tanya perempuan tu .tuk guru tu jawab = tak bolehlah sebab itu bukan hak dia .perempuan itu pun kata =kalau gitu tuk guru pun tak kena sebab sedih terlajak sampaikan tak mahu keluar rumah ,tak mahu mengajar sedangkan tuhan ambil hak dia .lepas dengar kata2 tu esoknya dia pun keluar mengajar dan permpuan yg menasihatkan dia itu pun dijadikan isterinya .kesimpulannya nazirah, ini semua yg ada depan mata kita adalah pinjaman dari allah.redha dan banyakkan doa baginya ,itu yag diperlukannya .Salam ta'ziah saya lagi sekali .Ust Rahim

princess_archer said...

salam jie.. setiap yg hidup akn pergi.. kiter juga pasti! tetapi moga Allah memberikan rahmat kepada kiter di setiap saat n ketika.. krn hanya rahmat Allah yg akn menyelamatkan kita.. moga kiter akan bersatu d SANA.. sayang jie~