Followers

Tuesday, January 19, 2010

Tersentuhkah hati?

Setiap kata-kata akan diuji. Kadang-kadang saya jadi takut, takut untuk menasihati, sedang kejahilan masih membelenggu diri. Mana mungkin hati yang malap mampu memberi sinar iman kepada hati yang lain? Mana mungkin hati yang gersang mampu menyiram benih ketaqwaan kepada hati yang lain? Terasa hati ini masih kontang dan lesu. Jauh dari-Nya. Terlalu sedikit cintaku untuk-Mu, astaghfirullah…

Aku masih belum mampu untuk mencintai-Mu sepenuh hati…
Namun aku cuba untuk mencintai-Mu semampuku…
Perkenankanlah Ya Allah…

Setiap hari titik-titik hitam semakin bertambah. Maksiat masih melekat, mazmumah masih berkarat. Bersihkah hati yang sebegini? Untuk mendidik hati sendiri pun saya masih terkapai-kapai, bagaimana mahu mendidik hati orang lain?

Kotornya hatiku…
Rapuhnya jiwaku…
Lemahnya diriku…

Saya berfikir dan berfikir. Adakah ini ujian untukku? Untuk menguji iman dan sejauh mana pelaksanaan yang diucap oleh lisan. Lidah mampu melafaz, tapi untuk melaksanakan tidak mudah.

Maafkan andai ada hak-hak yang terabai…
Maafkan andai ada hak-hak yang tak mampu kutunaikan…
Maafkan andai ada kata-kata yang menghiris perasaan…
Kerana ku tak sempurna…
Diri ini penuh khilaf dan dosa…


Hati manusia berada dalam genggaman Allah. Saya tidak mampu untuk menyentuh hati manusia, kerana hati saya juga milik-Nya. Namun saya sedar, yang penting usaha untuk menyedarkan, bukan memberi hidayah. Hidayah itu milik Allah, bukan milik manusia. Kata-kata yang terbit dari hati akan mengalir terus ke hati, biiznillah. Cubalah pujuk diri untuk tidak berasa letih dalam beramal, dalam memberi nasihat, dalam mendidik sahabat-sahabat. Kuncinya, sabar. (kupujuk jua hati dan jiwa ini untuk terus bersabar)

Sabar…agar diri terus tabah…
Sabar…agar emosi terus ‘gagah’…
Sabar...walau terasa lelah dan payah...
Sabar...untuk tidak mengalah...
Dan sabar…untuk segala-galanya…

Sedang saya membelek majalah solusi kesayangan, hati saya terpaut dengan satu ayat,  “Allah sering mempertemukan kita dengan manusia yang tidak kita duga untuk memberi pelajaran dan hikmah kepada kita...”  

Ya, Dia memberi teguran secara tidak langsung melalui orang sekeliling. Ujian-Nya datang melalui pelbagai bentuk, saya sedar hakikat itu. Tidak sedikit ujian-Nya singgah di perjalanan hidup ini, cuma terpulang pada diri sendiri untuk melihat dengan pandangan mata hati berbekalkan iman atau sebaliknya. Kerap kali saya tewas dan tersungkur. Setiap kali itu juga saya cuba bangkit semula.

Ujian itu bukan untuk melemahkan, tetapi menguatkan. Dia menguji hamba-Nya sebagai tanda kasih sayang-Nya. Husnuzzon. Berbaik sangkalah dengan Allah.

Cubalah selongkar hikmah di sebalik setiap musibah yang menimpa, jangan mudah berasa lemah dan putus asa. Saban hari kita berhadapan dengan pelbagai watak dan kerenah manusia. Banyak rahsia ilahi yang tidak mampu kita singkap, tetapi ambillah pelajaran melalui orang-orang yang kita temui. Agar kita mampu mengutip ibrah dan menyebarkannya kepada orang lain.

Walau diri ini lemah, saya cuba ‘menggali’ kekuatan, agar orang lain mampu bersandar. Biarlah air mata ini hanya tumpah di sejadah saat berteleku di hadapan-Nya. Rahsia hati, hanya Allah yang tahu.

Izinkan aku beteduh di bawah arasy-Mu nanti ya rabbi… 


p/s: Masih sedang cuba mencari makna diri dan mem'baiki' hati... 
Menyiram benih-benih kesabaran, agar subur pohon-pohon ketabahan dan kekuatan. 
Agar tidak layu dimamah amarah dan mazmumah.
Nafas ini hanya sementara, nafas ini adalah satu amanah...
Mudah-mudahan jiwa ini tidak lagi goyah dan rapuh, untuk mengharungi hidup yang sememangnya lelah!


No comments: