"Wanita yang solehah tersenyum dalam kesusahan, mendapat kekuatan melalui doa, menenangkan hati melalui istighfar, dan mendidik diri melalui solat yang khusyu'. Susah itu tarbiyyah, sabar itu indah..."
Followers
Monday, March 30, 2009
Sunday, March 29, 2009
Untukmu sahabat...
Roh ukhuwwah menggetarkan hati dan perasaan...
Hati-hati bersatu atas dasar yang satu, terikat dengan ikatan aqidah, ikatan yang paling kukuh dan mahal...
Bila hati telah terpaut dan jiwa telah terpadu, maka persaudaraan yang wujud terus berjalan, bersih, dan penuh rasa kasih...
Berdoalah agar kita sentiasa dikurnia nikmat kemanisan berukhuwwah...
Agar kita sentiasa berpijak pada simpulan aqidah, pengikat yang utuh dan abadi...
Dalam aku mencari redha-Mu Tuhan, jiwaku perlu kepada mutiara ihsan, kalbuku perlu kepada permata iman, agar diriku indah dengan nikmat ISLAM…
Tetapi bagaimana harusku merasai semua itu tanpa bantuan seorang TEMAN yang mampu menjadikan diriku menuju ke sisi-Mu Tuhan…
Hadirkanlah ia dalam perjalanan hidupku untuk selamanya...
Wanita yang solehah tersenyum dalam kesusahan, mendapat kekuatan melalui doa, menenangkan hati melalui istighfar, dan mendidik diri melalui solat yang khusyu'...
Susah itu tarbiyyah, sabar itu indah...
Yakin pada Allah bukanlah mengharap terkabulnya segala harapan, yakin pada Allah bukanlah keindahan nikmat, yakin pada Allah adalah meletakkankeREDHAan pada keTENTUan-Nya, rasa bahagia dengan ujian walaupun perit...
Di situ ada air mata yang tertitis terasa bernilai buat menyiram api neraka...
Indahnya tarbiyyah Allah, tersirat rahmat dan hikmah, diuji kita sebagai tanda sayang-Nya...
Yang dilihat dan diukur-Nya bukan sejauh mana usahamu, tapi yang diharap sejauh mana TAWAKKAL, PERCAYA nan jitu... Pergantunganmu pada-Nya...Tapi tak bermakna tidak perlu berusaha... USAHAlah semampumu, tapi jangan sesekali beraqidah bahawa banyak usahamu penentu kejayaan... Tetapi berimanlah bahawa TAWAKKALmu itu sebenarnya hanya semata-mata pada-Nya... Itulah penentu KEJAYAANmu...
Wednesday, March 25, 2009
KAU MURABBI BUKAN SELEBRITI!

Leaders are learners - pemimpin adalah individu yang sentiasa belajar. Begitu saya diingatkan berkali-kali. Malah, satu ungkapan yang sering menjadi pegangan saya ialah saat kita berhenti belajar saat itulah kita akan berhenti memimpin - when you stop learning, you stop leading. Ya, walaupun saya bukan pemimpin dalam skla yang besar tetapi saya adalah pemimpin keluarga dan setidak-tidaknya pemimpin diri sendiri. Hakikat ini mengingatkan saya kepada perbualan bersama Pak Long - orang tua kampung saya pada minggu yang lalu.
“Kau asyik mengajar sahaja, bila kau belajar?” tanya Pak Long pada satu hari.Saya diam. Saya tahu, Pak Long bukan bertanya sebenarnya, tetapi dia mengingatkan.
“Apa yang kau selalu tulis dan cakapkan tu… betul-betul sudah kau amalkan?” Saya bertmbah diam. Selain ayah, Pak Long adalah orang yang paling saya hormati… malah saya takuti (kadang-kadang).
Namun begitu, Pak Longlah tempat saya ‘ziarah’ apabila ada sesuatu keputusan, kemusykilan atau kecelaruan berlaku dalam episod hidup saya. Sejak saya masih di sekolah rendah, hinggalah kini Pak Long adalah ‘guru’ saya.
“Saya hanya penyampai Pak Long. Apa yang saya tulis dan cakap merupakan gugusan pengajaran yang bukan hanya diambil dari pengalaman diri saya tetapi juga orang lain. Saya juga berharap apa yang telah saya sampaikan, dapat juga saya amalkan.”
“Jangan hanya berharap, berusaha!” pintas Pak Long.
“Insya-Allah,” jawab saya pendek.
“Bagus tu. Jangan menulis ‘diri’ sendiri. Ingat pesan ni, orang yang bijaksana, menulis tentang ilmu. Orang cerdik menulis tentang peristiwa. Orang pandai menulis tentang ‘orang lain’. Hanya orang bodoh menulis tentang dirinya sendiri.”
Saya mengangguk perlahan. Dalam maknanya kata-kata Pak Long kali ini.
“Pak Long lihat ada kecenderungan sestengah penulis asyik menulis tentang dirinya. Begitu juga penceramah yang asyik bercakap tentang ‘aku’nya.”
“Tapi Pak Long, tak salah kalau pengalamannya itu dapat dikongsi oleh orang lain. Malah itu lebih ‘real’ daripada apa yang dialami orang lain.”
“Betul. Tak salah. Tetapi jangan keterlaluan.”
“Kenapa Pak Long?”
“Sebab, kekuatan ilmu lebih ampuh daripada kekuatan peribadi. Biar pembaca atau pendengar bersandar kepada kekuatan ilmu yang diketengahkan, bukan kekuatan peribadi penulis atau penceramah itu sendiri.”
“Kenapa Pak Long?” Pak Long merenung tajam. Dia faham kali ini saya bukan hanya menyoal tetapi mempersoalkan.
“Pak Long lihat, penulis atau pendakwah masakini tidak syumul dari segi personalitinya. Tak payahlah Pak Long huraikan lebih terperinci… muhasabahlah diri masing-masing.”
“Maksud Pak Long, golongan ini banyak kelemahan? Biasalah Pak Long. Siapa yang sempurna? Apakah hanya apabila semuanya sempurna baru kita boleh berdakwah?”
“Tidaklah begitu. Tetapi biarlah pendakwah sekurang-kurangnya ‘lebih sempurna’ sedikit daripada golongan yang diserunya.”
“Kalau tidak?”
“Masyarakat akan kecewa, apabila melihat figur-figur yang mereka kagumi malah ingin teladani… tidak seperti yang mereka harapkan.”
“Pak Long, sejak dulu kita diajar bertoleransi dalam hal-hal yang begini. Pendakwah tidak sempurna seperti ‘bahan’ dakwahnya. Begitu juga Islam, dengan umat Islam. Islam sentiasa hebat, tetapi muslim adakalanya hebat adakalanya tidak, bergantung sejauhmana mereka mengamalkan Islam itu sendiri!”
“Hujah lama,” balas Pak Long.
“Tapi masih relevan… Pak Long,” saya seakan merayu.
“Kalau hujah tu diputar-balik begini macam mana… Ya, kalau Islam sentiasa hebat tetapi umatnya belum tentu. Jadi kalau begitu, di mana letaknya keupayaan Islam dalam menjana kehebatan umatnya?”
Sahih, saya terperangkap. Seperti biasa, hujah Pak Long akan bertambah gagah, kalau disanggah. Justeru, kerana itulah saya selalu ‘melawan’. Pak Long bukan guru - kau diam, aku cakap! Tetapi dia adalah guru yang ‘demokratik’ - prinsipnya: Mari sama-sama kita cari kebenaran.

“Kau tidak pernah terbaca tulisan Dr. Yusuf Al Qaradhawi tentang kelohan seorang intelektual Barat yang baru memeluk Islam? Apa keluhannya?”
“Maha suci Allah yang telah memperkenalkan aku Islam sebelum aku mengenal muslim…”
“Tahu pun. Jika intelektual itu kenal muslim, mungkin dia tidak tertarikpun untuk memeluk Islam. Jadi dari segi tertib…siapa yang kita nak perkenalkan dahulu? Muslim atau Islam?”
“Islam Pak Long,” saya akur. Tunduk.
“Ya, itulah maksud Pak Long… pendakwah atau penulis, mesti mengenegahkan prinsip dakwah, Islam dan tarbiah, bukan input peribadi atau personalitinya. Bawa orang kepada Allah, bukan kepada diri, bawa orang kepada Islam, bukan kepada produk atau kumpulan. “
“Terimakasih Pak Long… selalu-selalulah ingatkan saya.”
“Ingat pesanan Pak Long ni… pendakwah adalah seorang murabbi bukan selebriti!”
sumber: genta-rasa
Monday, March 23, 2009
Tanda-tanda Anda Bayi 80-an...

Kita membesar dgn menonton G-Force, He-man,Transformers, Thundercats,Silver Hawk, Woody Woodpecker, Chipmunks and MickeyMouse. Not to forget Ninja Turtles, Mask, Smurfs dan Voltron.
Berus gigi time waktu rehat kat skolah rendah?...Hmm, mesti pegang cawan warna-warni kan. Mencangkung kat tepi parit dengan classmates semua kat sebelah...
Ni sure korang ingat...program minum susu di skolah *yummy* . Nak galakkan budak2 time tu minum susu. Sekotak 30 sen je...
Cikgu2 kalau nak denda, mesti guna pembaris panjang warna kuning tu. Pukul tapak tangan...kan?
Time sekolah menengah, korang sure beli kasut sekolah Bata BM Turbo atau Pallas Jazz. Ada yang suka kasut high-cut yang buatan china tu... Ada yang suka stoking tebal laaa...
Internet? Email? Apelah tu?
CD? Ape tu? Kaset tape penah laa dgr. Tiket wayang pun 5 ringgit je.
Kite pegi kedai runcit, beli Mamee , KumKum, UFO, Ding Dang chocolate balls yang ada mainan kat dalam die, 'telur' keras warna warni,
Permainan kegemaran, main guli, batu seremban, penutupbotol, batang aiskrim, 'Pepsi Cola one-two-three', 'Police & Sentry', kejar2 duduk...
Kita hilangkan dahaga dengan aiskrim 10 sen. Yang aiskrim ada banyak2 color tu. Kalau nak makan, kena patahkan kat tengah2 dia!
Lipat kertas kecik2, pastu buat lastik. Hmmm..ni pun kita main dulu ni, baling2 kapur laa.
Hmm...budak2 kat university sekarang, kebanyakannya lahir tahun 1986/87, sekarang digelar 'remaja'.
Bagi diorang, diorang mana pernah dengar lagu 'We Are theWorld, We Are theChildren...' dan lagu 'Uptown Girl' yang diorg tau, yang Westlife nyanyi....bukan Billy Joel nyanyi...
Diorang percaya Spiderman dengan Incredible Hulk tu filem2 baru.
Diorang tak boleh bayangkan skrin hitam putih untuk sebuah komputer.
Diorang tak percaya pernah ada TV hitam putih...dan diorang sekarang tak reti nak switch on TV kalau takde remote control.
Dan diorang tak paham macam mane kite boleh survive dekat universiti tanpa handphone...
Hmm...jom kite check, kita ni dah tua ke:
1. Korang paham ape yang korang baca kat atas ni, dan korang sure tersenyum. ;D
2. Kebanyakan member2 sekolah menengah kite dah kawin...(.")(",)
3. Korang sure pelik bile tengok budak2 kecik main komputer, selamba je, huh...
4. Kita geleng kepala bile tengok budak2 sekolah menengah guna handphone.
5. Kita dah tak banyak sembang2 dengan member melalui telefon lagi setiap hari.
6. Bila jumpa member lama dari semasa ke semasa, seronok bila bersembang pasal cerita2 lama, cerita2 kelakar yang kite alami masa dulu time kecik2, nakal2 dulu...
Yaa, kite pun dah semakin tua!! Teringat zaman2 dulu kan? Cheers to the 80s babies!!!

Sunday, March 22, 2009
Bila berbicara soal ilmu...
Masa taaruf week mula-mula masuk matrik dulu, kami ada exam, oral test, untuk menetukan sama ada pelajar tersebut akan masuk kelas fardhu ‘ain atau study circle. Ada juga soalan yang saya tak dapat jawab masa tu, tak ingat bahagian aqidah ke ibadah. Ustaz tu bagi pilihan kat saya, dia tanya,

“Enti nak masuk fardhu ‘ain ke study circle?”
“Em…” saya tak tau nak jawab apa, tapi mana-mana pun saya tak kisah.
“Enti baca Qur’an bagus dah, cuma soalan tu je tak dapat jawab. Sayang la kalau enti tak lepas. Sekarang ana bagi pilihan, enti cakap je.”
“Pendapat ustaz macam mana?” saya membalas dengan persoalan.
“Kalau enti anak ana, ana akan suruh masuk kelas fardhu ‘ain”.
“Kalau macam tu, ana masuk fardhu ‘ain jelah…”
“Ana cakap kalau enti anak ana, ana tak suruh enti ambil kelas fardhu ‘ain”.
“Takpe, ustaz. Ana masuk kelas fardhu ’ain, betul.”
“Ana bagi peluang lagi. Kalau enti dapat jawab soalan ni, kira lepas.”
Then ustaz tu tanya soalan lagi, tentang syarat apa entah, tak ingat. Saya pun senaraikan jawapan yang saya tau, dan mampu jawab pada masa tu.
“Lagi ke, ustaz?” saya bertanya bila ustaz tu senyap je.
“Berapa yang enti bagi tadi?” saya pun ulang balik, ada la empat lima point yang saya cakap masa tu. Sebelum keluar, ustaz pesan lagi,
“Ana bagi enti ambil study circle, tak payah masuk kelas fardhu ‘ain. Tapi enti kena janji dengan ana, balik nanti enti kena belajar lagi. Janji dengan ana enti akan baca buku dan tambah ilmu fardhu ‘ain tu, boleh?”
“Insyaallah, terima kasih, ustaz…” saya melangkah keluar.
Memang sampai ke liang lahad pun kita takkan habis menuntut ilmu. Sebab ilmu Allah sangat luas. Semakin banyak perkara yang kita tahu, baru kita sedar lagi banyak perkara yang kita tak tahu. Ilmu bukan sekadar dalam kelas dan dewan kuliyah, tapi juga melalui ceramah, ta'lim, kuliyah agama, dan sebagainya. Dan yang paling penting, saya selalu ingatkan diri sendiri, ikhlaskan niat dalam menuntut ilmu.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesiapa yang mempelajari ilmu yang boleh mendapatkan keredhaan Allah, sedangkan dia mempelajarinya kerana ingin mendapatkan habuan dunia, dia tidak akan dapat mencium bau syurga di hari akhirat kelak."
Riwayat Abu Daud
Huraian:
.:: Islam menuntut keihlasan niat dalam segala perkara termasuklah dalam menuntut ilmu sama ada yang berbentuk keduniaan atau ilmu agama. Dengan perkataan lain, setiap ilmu yang dituntut janganlah terkeluar daripada landasan syariat. Ia mestilah dimanfaatkan untuk kebaikan di dunia dan akhirat serta mengutamakan kebajikan manusia sejagat bukannya untuk kepentingan dunia semata seperti mengumpul harta, merebut kenaikan pangkat atau mengejar ‘glamour’ dan sebagainya.
Saturday, March 21, 2009
"TIFLUN SAGHIR"
Jom baca kisah ini, sama-samalah kita mengambil istifadah darinya.
Setelah mendapatkan beberapa buku yang aku inginkan di kedai buku Daarut Tauzi’, aku menaiki bas pulang ke rumah sewaku di Hay El Asher, kawasan paling banyak didiami oleh mahasiswa dari Asia Tenggara di bumi Anbiya’ ini. Ketika bas melewati pasar Sayyeda Zainab, semakin ramai penumpang menaiki bas. Ruangan dalam bas yang sedia sempit tambah berhawa dan merimaskan. Peluh yang bergeluyutan di dahi segera kuseka dengan tuala kecil yang sentiasa kubawa dalam poket seluar.
Sebaik sahaja sampai di rumah aku meletakkan buku-buku yang kubeli di atas meja di ruang tamu dan meluru ke dapur. Peti sejuk kuselongkar. Mujur laban pemberian Ammu Hassan semalam masih berbaki. Pantas kuteguk habis.Ammu Hassan seorang peniaga di kawasan tempat aku menetap. Lelaki berjanggut lebat dan berbadan gempal itu peramah amat. Sesiapa sahaja pasti menyenanginya apabila bergaul dengannya.
Satu kebiasaan orang Arab yang kuperasan, mereka cukup teruja dengan orang yang berkebolehan mempercantik dan memperelokkan bacaan Quran, atau dalam bahasa mudahnya orang yang punya suara yang merdu. Entah daripada siapa Ammu Hassan mengetahui aku miliki kurniaan Allah yang satu itu. Mungkin teman-teman serumahku yang mengkhabarkan kepadanya. Kebetulan, kami sendiri agak rapat dengan lelaki kelahiran Cairo itu.
Setiap kali aku berkunjung ke kedainya, dia akan meminta aku membacakan beberapa potong ayat Al-Quran. Apabila permintaannya kupenuhi, dia memberi kepadaku laban atau tha’miyah bil baidh sebagai upah. Kadang –kala diberinya a’sir a’sob. Aku baru sahaja beberapa hari tiba di Mesir setelas pulang bercuti di tanah air. Teman-teman serumahku lain belum pulang lagi kecuali Hadi dan Khairul. Entah ke mana dua rafikku itu pergi. Sejak pulang tadi, kelibat mereka langsung tidak kelihatan.
Aku menghenyakkan tubuh di atas katil. Lebih kurang setengah jam lagi waktu Asar akan menjelang. Cadangnya, aku mahu melelapkan mata seketika buat menghilangkan penat yang menghinggapi tubuhku. Namun, mataku tidak mahu pejam. Ingatanku melayang kembali ke kampung halaman dan singgah pada wajah kanak-kanak bermata bundar itu . Wajahnya memenuhi segenap jihat ingatanku. Ya, tiflun saghir itu!
*************************************************************************************
“Mengapa adik bersendiri di sini? Mengapa tidak bermain bersama-sama kawan –kawan lain? Mereka pulaukan adik ke?” bertalu-talu aku menyoal seorang budak yang kukira berusia dalam lingkungan tujuh tahun. Dia kulihat duduk memeluk lutut sambil menekur bumi tidak jauh dari sekumpulan kanak-kanak yang sedang asyik bermain galah panjang. Bagai ada suatu tarikan mendorong aku menghampiri kanak-kanak berwajah bening itu. Aku membatalkan niat untuk berjalan-jalan di persisiran pantai sebaliknya melabuhkan punggung tidak jauh darinya. Tidak semena-mena, butiran-butiran jernih menitis di pipi munggilnya. Aku kaget.
“Mengapa ni?” tangisannya kian lebat. Aku mengusap lembut belakang tubuhnya dalam usaha memujuk.
“Abang, Adi takut,” sedu sedan kedengaran di hujung suaranya.
“Apa yang kamu takutkan?” lurah-lurah halus terukir di dahiku. Rasa bertembung dua keningku bagai bersatu.
“Adi teringatkan firman Allah kepada orang-orang beriman supaya menjaga diri dan ahli keluarga mereka daripada bahang neraka. Adi takut dibakar dalam neraka,” aku terlopong. Mataku sedikit terbelalak. Atmaku diserbu mancarasa. Kagum bersulam gerun.
“Sudah jangan menangis lagi. Kamu masih kanak-kanak. Masih belum akil baligh. Allah tidak akan menghumban kamu ke dalam neraka,” sambil mengesat air matanya, budak yang membahasakan dirinya Adi itu mendongakkan kepala memandang tepat ke wajahku. Fikirku, dia telah berjaya kupujuk.
“Abang pernah melihat orang hidupkan unggun api? Yang pertama sekali mereka akan letak ialah ranting-ranting kayu yang kecil . Setelah api marak, barulah kayu-kayu atau dahan yang lebih besar dicampakkan. Sudah tentu kanak-kanak seperti Adi dahulu dihumban dalam neraka sebelum dibakar orang dewasa.”
Subhanallah! Berkali-kali kalimah itu mercup ditubir bibirku. Aku tidak menjangkakan kanak-kanak sepertinya mampu berfikir sejauh itu. Aku terpempan. Dengan esakan masih berbaki dihujung suara budak itu mohon diri pulang ke rumah meninggalkan aku dalam keadaan teruja.Melalui beberapa kenalan, aku mendapat tahu Adi telah menghafal 30 juzuk Al-Quran. Malah mereka turut mendakwa Adi boleh bercakap dalam beberapa bahasa yang pelik sehingga dia dianggap sebagai budak ajaib.
Pernah suatu ketika, Adi berkejar ke pantai menghalang para nelayan turun ke laut. Katanya laut bakal bergelora dan angin bakal menggila sedang ketika itu bukan musim tengkujuh. Amarannya dipandang sebagai gurauan anak kecil. Akhirnya, perkara yang dikhabarkan Adi benar-benar berlaku. Kumpulan nelayan yang turun ke laut terperangkap dalam ribut yang entah datang dari mana. Alhamdulillah , mujur tiada yang terkorban.
“Adi mahu jadi apa bila besar nanti?” aku memgecilkan langkah kaki. Kasihan pula aku melihat Adi terpaksa berlari-lari anak mengejar langkahku. Angin petang berpuput mesra. Aroma air laut menerawang menerobosi indera bauku.
“Adi mahu cipta satu satelit yang nenggunakan Al-Quran sebagai kata laluan. Nanti umat Islam dari seluruh dunia dapat berhubung sekaligus bersatu kembali. Setelah umat Islam bersatu, tiada sesiapa lagi yang berani memperlekehkan umat Islam. Malah, saat itu kita dapat mengulangi sejarah kegemilangan tamadun Islam yang pernah kita kecap sebelum jatuhnya empayar agung Utmaniyyah pada tahun 1924. Salahuddin al-Ayubbi kedua akan muncul untuk membebaskan kota suci Baitulmaqdis dan Adi berharap Adi lah Salahduddin itu,” bicara Adi petah. Rasa kagumku kepada anak kecil ini kian menebal. Aku yang menyandang gelaran mahasisiwa Al-Azhar ini pun tidak pernah menyimpan visi dan misi hidup seperti Adi. Aku malu sendiri.
Adi mengingatkan aku pada suatu kisah yang berlaku kepada Amirul mukminin, Umar Abdul Aziz. Sewaktu awal pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, telah datang berbagai-bagai rombongan dari seluruh pelusuk negara untuk menyatakan taat setia kepadanya. Satu rombongan dari Hijaz tiba, dan seorang kanak-kanak yang baru berusia 11 tahun tampil ke hadapan untuk bercakap. Umar Abdul Aziz meminta kanak-kanak itu berundur dan memberi laluan kepada orang yang lebih dewasa untuk berbicara. Budak itu menjawab sopan dengan berani.
“Semoga Allah kekalkan pemerintahan Amirul Mukminin! Sebenarnya manusia itu dinilai dengan dua yang paling kecil pada dirinya, iaitu hati dan lidahnya. Jika Allah mengurniakan padanya lidah yang petah, hati yang kuat ingatan, maka sudah tentulah dia yang berhak bercakap. Wahai Amirul Mukminin, sekiranya semua perkara diukur dengan umur, nescaya di kalangan umat ini ada orang yang lebih berhak daripadamu untuk memegang jawatan khalifah.” Umar Abdul Aziz tergamam dengan jawapan anak kecil itu sebagaimana aku terpana mendengar kasad murni Adi.
“Mak cik, Pak Cik, Adi anugerah Allah yang istimewa. MaK Cik dan Pak Cik harus membantu Adi mengembangkan bakat yang dimiliki. Mungkin Pak Cik dan Mak Cik boleh bawa Adi ke ibu negara untuk mencari satu program yang boleh menyokong tahap perkembangan otaknya.” Berkerut-kerut wajah kedua-dua orang tua Adi. Aku tahu mereka tidak begitu mengerti maksudku.
Aku tidak mengalah. Cutiku yang berbaki kuhabiskan ke sana ke mari untuk membantu Adi menempatkan diri di institusi yang layak untuk dirinya. Aku rasa bertanggungjawab membantu Adi. Anak kecil luarbiasa sepertinya perlu ditatang dan dijaga rapi. Jika umat Islam sendiri tidak menghargainya, dikhuatiri nanti pihak Barat yang mengambil peluang mendidik anak-anak genius ini untuk menjahanamkan Islam. Siapa yang tidak kenal dengan Sukarno, antara pemidato terhebat dunia. Sukarno, dengan idea NASAKOM-nya adalah anak genius Islam yang berjaya dilatih oleh Belanda untuk menghancurkan Islam. Begitu juga yang terjadi kepada Babrak Karmal, anak didik Rusia.
Di bidang penulisan pula, musuh-musuh Islam telah dapat menyiapkan Hussien Heikal dan Naquib Mahfouz sebagai pedang untuk menikam Islam melalui mata pena. Aku tidak mahu Adi menerima nasib yang serupa dengan mereka. Adi antara benih berharga dalam rangka menjana kebangkitan Islam kali kedua. Kebangkitan Islam di zaman Rasulullah SAW dahulu juga didokong oleh mukmin yang genius seperti Zaid bin Tsabit, Abu Hurairah, Abdul Rahman bin Auf, Salman Al Farisi, Umar Al-Khattab dan Ali bin Abi Thalib.
“Bila abang akan balik ke kampung lagi?” sehari sebelum aku berangkat meninggalkan tanah air, Adi datang menemuiku.
“Entahlah Adi. Abang tak berani janji bila abang akan pulang lagi. Mungkin dua tahun lagi. Mungkin selepas tamat mengaji.”
“Abang, Adi berpesan buat diri abang dan diri Adi sendiri dengan wasiat yang diberikan oleh Sayyid Qutb kepada adiknya, Aminah Qutb. Abang, apabila kita hidup hanya untuk diri kita, maka hidup kita amatlah singkat. Bermula dengan bermulanya kita dan berakhir dengan berakhirnya umur kita yang terbatas ini. Tetapi, jika kita hidup kerana fikrah untuk menegakkan Deenul Islam di atas muka bumi ini, sesungguhnya hidup kita akan lebih panjang dan bermakna. Bermula dengan bermulanya manusia dan berakhir dengan pupusnya manusia di atas muka bumi Allah ini...”
Empangan air mata yang kutahan akhirnya pecah jua mendengar nasihat Adi, anak kecil yang lebih sedekad muda dariku. Aku peluk tubuh Adi kejap.
“Saif, mahu a’sir a’sob tak?” kepala Khairul tersembul di muka pintu. Serta merta kenangan bersama Adi pecah berkecai dan tenggelam bersama gelengan kepalaku. Aku kelih jam di dinding. Tidak lama lagi azan Asar akan berkumandang. Selepas solat aku mahu segera bersiap menuju ke Masjid Uthman Ibn Affan di Heliopolis. Malam ini akan diadakan kuliah Syeikh Yusuf Al-Qardhawi di darul munasabat masjid itu. Dalam hati, aku berdoa Adi akan berjaya menggapai cita-citanya. Sungguh, Adi anugerah Allah buat umat Islam dan aku bersyukur kerana Allah pertemukan aku dengan tiflun saghir itu.
GLOSARI
Laban - susu
Ammu - pak cik
tha’miyah bil baidh - masakan khas mesir berbentuk sandwich isinya antara lain sayur, kentanggoreng, telur rebus yang dihancurkan dan campuran kacang hijau.
A’sir a’sob - jus tebu
Tiflun saghir - anak kecil/kanak-kanak
Rafik - teman/kawan
Wednesday, March 18, 2009
Demi 'kekasih' hati...

Cubalah ukur iman sendiri, buat penilaian. Boleh ke ukur iman? Macam mana tu? Musykil2...
Iman akan bertambah dengan amal yang baik, dan semakin berkurang bila seseorang itu melakukan maksiat. That's why iman yazid wa yanqus. Nak tau macam mana, mudah je. Kalau kita rasa malas nak buat ibadah, dan rasa ringan nak buat maksiat, maknanya iman kita pada masa tu sedang berkurang. Sebaliknya, kalau kita rasa ringan nak buat ibadah, senang untuk bangun tahajjud, maknanya iman kita berada dalam keadaan stabil, dan bertambah. But of course we have to struggle to achieve that level, right?
Ustaz bagi satu perumpamaan yang simple.
"Kalau kita sayangkan seseorang, kita sanggup bersusah payah dan berkorban untuk dia. Katalah kita berjanji untuk berjumpa dengan 'seseorang' esok, nak pakai baju warna hijau, tapi baju tu dah seminggu tak berbasuh..." Isy, busy sangat kot...huhu. Then ustaz sambung lagi,
"Kebetulan, itulah satu-satunya baju hijau yang kita ada. Malam ni confirm terus basuh, kalau tak kering siap letak bawah kipas lagi, iron awal-awal, dan sebagainya. Semata-mata kerana dah janji nak jumpa 'orang' tu esok, nak pakai baju warna hijau."

Bila kita fikir macam tu, tentu kita akan bersungguh-sungguh untuk beribadah. Kita akan buat apa saja demi 'kekasih' hati kita. Betul tak? Tak kira sesusah mana pun, kita akan berusaha untuk bangun tahajjud dan bermunajat kepada-Nya. (Moga diri ini diberi kekuatan, ameen...)
Kata ustaz lagi lagi,
"Yang penting mind-setting kita. Perkara sunat, kalau buat dapat pahala, kalau tak buat, tak dapat apa-apa." Faktanya macam tu la, kan?
"Salah tu!" Ustaz yang cakap, bukan saya...=)
"Perkara sunat, kalau buat dapat pahala, kalau tak buat kita yang rugi. Kita kena fikir macam tu, barulah rajin nak buat yang sunat." Betul jugak, kan? So, sama-samalah kita berusaha ke arah itu. Jaga yang wajib, improve yang sunat.
~Dariku untuk diriku-terus mengislah diri~
Monday, March 16, 2009
.:: Muhasabah Cinta ::.
Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari-Mu
Ku pasrahkan semua pada-Mu
Tuhan baru ku sedar
Indah nikmat sihat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cinta-Mu
Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi muhasabah cintaku
Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan-Mu
Saturday, March 14, 2009
Sabar itu indah, susah itu tarbiyyah…
Manusia yang normal, setiap hari tak lari dari masalah, tak lepas dari tekanan. Sebagai seorang Muslim, sudah tentu kita kena ikut hukum alam, ikut sunnatullah. Kalau hidup tanpa dugaan dan cabaran, tak normal la pula. Cuma, adakalanya kita rasa kuat, dan adakalnya kita rasa lemah.
Mungkin sebab hati kita tidak cukup kental sewaktu ditimpa musibah. Mungkin sebab jiwa kita lesu ketika masalah bertandang. Mungkin sebab iman kita rapuh saat dilanda ujian. Mungkin sebab hati gelap diselaputi dosa, kita tidak mampu melihat dan berfikir hikmah di sebalik apa yang berlaku.

“Apa dosa aku?” Pernah dengar ayat macam ni? Seolah-olah kita ni maksum sangat, macam tak ada dosa pula. Padahal setiap hari pun tak lepas dari dosa. Anggaplah musibah yang kita hadapi sebagai kaffarah dan penghapus dosa-dosa kita. Tak rugi pun.
Saya pernah terbaca dalam sebuah artikel, suatu ketika Saidina Umar bin al-Khattab, pernah berputus asa ketika kemenangan Islam tidak muncul. Pada hal di sisi beliau ada Rasulullah SAW. Perasaan putus asa Umar ini jauh lebih bernilai daripada rasa putus asa kita yang kehilangan harta, material, dunia, dan keluarga. Perasaan putus asa Umar adalah mewakili Islam dan kesetiaannya kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Manakala perasaan putus asa kita mewakili kepentingan dan ego dalam diri sendiri.
Umar meratap sedih: Wahai Rasulullah bukankah kamu utusan Allah? Bukankah Agama ini benar? Rasulullah menguatkan semangat sahabatnya: Sesungguhnya aku adalah seorang hamba Allah dan sudah tentu Dia tidak akan membinasakan diriku.
(Sirah Nabawiyah oleh Dr Mustafa al-Sibaie)
Kata-kata keramat Baginda ini sudah selayaknya menghiasi hati orang mukmin yang bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT.
Dr Yusuf Al-Qaradawi, dalam kitabnya Al-Iman wal Hayah menyatakan :
Tidak mungkin manusia dapat menghindarkan diri daripada pelbagai kesulitan, begitulah kenyataan hidup, ramai yang bersua dengan kegagalan, ditinggalkan kekasih, penyakit menyerang tubuh, kehilangan harta benda dan seterusnya. Kemudian beliau mengambil hadis Rasulullah bermaksud:
Perumpamaan orang beriman yang ditimpa ujian bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilang karat dan tinggal yang baiknya saja.
Beliau juga meminjam kata-kata seorang ulama:

Setiap kali aku ditimpa ujian duniawi, terbayang olehku tiga kurniaan Tuhan. Yang pertama, cubaan itu tidak menjejaskan agamaku. Yang kedua, aku tidak ditimpa bahaya yang lebih besar dari itu. Yang ketiga, aku mendapat pahala dari Allah SWT kerananya.”
Ya Allah, di atas kesedihan ini hamba memuji-Mu, Engkau memberiku tujuh orang anak, lalu Engkau mengambilnya satu. Aku tidak menyesal, bukankah Engkau tinggalkan untukku enam orang lagi? Kaki dan tanganku semuanya empat dan Engkau hanya ambil satu saja daripada mereka. Bukankah ada tiga lagi yang sepatutnya aku syukuri? Kalau Engkau yang mengambil maka Engkau juga yang memberi. Kalau Engkau yang menurunkan bala, sesungguhnya Engkau juga yang menyelamatkan.
"Apabila hati sedih dengan ujian kehidupan yang melelahkan jiwa, alirkanlah air matamu wahai jiwa.. Tumpahlah ke tikar solatmu.. Sesungguhnya Allah mendengar tangisanmu yang memohon kasih-Nya..."
Wednesday, March 11, 2009
Jangan merajuk wahai da’ie...
Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai Dai'e, mengajak jiwa-jiwa kembali tunduk pada Allah yang Esa. Malah mereka lagi perlu menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa...
Yang pastinya, dalam kesungguhan pasti ada mehnah melanda. Dalam saat seronok mengajak manusia kembali ke jalan Allah, kita terlupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal tutup buka nya ia.
Membuatkan kita kecewa dan putus asa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Membuatkan kita terlupa tugas kita hanya pemberi peringatan, sedangkan natijahnya di bawah takdir Allah yang Maha Kuasa. Bak kata pepatah `menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi'.
Di saat hati rajuk, mencari hikmah atas apa yang menimpa, Al-Quran menjadi tempat kembali, isinya penuh istimewa, pasti sesuai di setiap keadaan dan masa. Namun, bergantung kepada kesediaan hati itu untuk mengaitkannya dalam kehidupan, mengambil manfaat dari tiap bait Kalamullah...
Wahai Dai'e Rabbani, jangan diikut rajuk di hati, usah dilayan kecelaruan emosi, tergesa-gesa melarikan diri dari situasi. Melangkahlah dengan penuh hikmah dan kesabaran dalam meneruskan da'wah lillahi.
Menyoroti kehidupan Dai'e, siapalah kita meletakkan hidayah dihati manusia kerana ia adalah urusan Ilahi, hanya usaha yang akan dipersoalkan nanti. Hadamlah kalam Allah apabila Dia berfirman:"Dan tidaklah Kami mengutus kamu melainkan hanya sebagai pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan. Katakanlah:
"Aku tidak meminta upah sedikitpun kepada kamu dalam menyampaikan risalah itu, melainkan (mengharapkan kepatuhan) orang-orang yang mahu mengambil jalan kepada Tuhannya"
(Al-Furqan:56-57)
Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, segalanya mungkin terjadi, asalkan hati jernih mengharap redhaNya. Apa lagi yang Dai'e mahukan selain ketenangan dalam kehidupan seharian. Walaupun penuh ujian, hati penuh taubat mengakui kesalahan…
Inilah Dai'e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan insani. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana tiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan...
Ingatlah, hati-hati manusia sentiasa berada dalam GENGGAMAN ALLAH...
Tuesday, March 10, 2009
Salam Maulidur Rasul
Friday, March 6, 2009
Baca, baca, baca…
Biasanya kalau orang tanya pasal hobi, mesti cakap ‘membaca’. Tak kisahlah apa jenis bahan bacaan sekalipun. Yang penting thaqafah dan isi yang ada di dalamnya. Saya suka buku berbentuk ilmiah, pengisian rohani, kisah sahabat, sejarah silam, bacaan yang santai dan tidak terlalu berat. Buku-buku motivasi pun bagus. Secara jujurnya saya agak kurang minat buku-buku berbentuk pemikiran dan politik. Kena tanam minatlah kot lepas ni, sebab kena baca semua jenis buku. (Kena ke?)
Sirah nabi masih belum hadam lagi. Buku Raheeq Makhtum dah lama beli, tapi tak sampai separuh pun lagi saya baca. Bila dah berhenti memang susah nak sambung balik. Walaupun banyak lagi tak habis baca, saya tetap tambah koleksi jugak. Huhu… masa max fair hari tu beli lima buah buku, banyak betul. Tapi tak apa, untuk jangkamasa panjang. Memang kena habiskan jugak nanti. Bila la agaknya baru boleh habis baca semua tu, hm...
Buku terbaru yang saya beli bulan lepas “La Tahzan”. Dah lama sangat nak beli, cumanya sebab buku yang ada pun tak terbaca lagi, tapi last-last beli jugak. Hehe… Saya beli yang saiz mini, ada 3 edisi, sekarang masih dalam proses membaca, edisi pertama. Memang sangat best. (^^,)
i
Bab fardhu ‘ain banyak lagi tak settle, banyak yang kurang. Masa kat matrik pj dulu saya ada beli buku “Asa-asas Fardhu ‘Ain”. Memang banyak lagi kena belajar, sama ada melalui pembacaan, dengar kuliyah, ceramah dan sebagainya. Kadang-kadang perkara basic pun boleh terlupa.
Sama jugak halnya masa pergi pondok hujung tahun lepas, benda-benda kecil banyak yang kita terlepas pandang. Perkara yang simple, mungkin dipandang remeh oleh kebanyakan orang, tapi bila belajar dengan ustaz-ustazah yang alim, yang faqih bab hukum, baru sedar benda tu penting dan beri kesan pada amal ibadah kita.
Ustaz pesan, kalau nak menuntut ilmu kena berguru, tak boleh baca je semata-mata. Lebih-lebih lagi bab aqidah, ibadah, dan hal berkaitan hukum-hakam. Penting untuk merujuk orang yang alim dalam bidang tu, tak boleh pakai ijtihad sendiri je. Saya baca buku “Maza Ya’ni” pun tak lepas lagi, baca sekali macam tu je memang tak faham, apatah lagi untuk hadam isinya.
Lagi bagus bila dah habis baca sesuatu, kita share dengan kawan-kawan. Secara tak langsung, boleh bertukar pandangan, idea semakin bercambah, dan sebagai tazkirah juga. Ilmu bila disimpan semakin berkurang (lupa dan sebagainya), tapi bila dikongsi insyaallah akan semakin bertambah. Pesan sahabat saya, dah beli buku tu kenalah baca-I will finish it, insyaallah. Dan katanya lagi, dah baca kenalah amal-yang ni susah sikit kot, huhu...but I'll try.
So, moral of the story is…apa? Think yourself. Selamat membaca! =)
P/s: hobi sekarang makin 'canggih' dah-baca blog...;p
Semua orang pasti buat silap, bertaubatlah...
Apa-apa pun, yang penting kita sedar dan berubah, berazam untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama. Selagi masih ada peluang, gunalah sisa-sisa waktu yang ada untuk bertaubat dan perbaiki diri.

Diriwayatkan bahawa seorang salaf berkata,
“Sesungguhnya seorang hamba boleh jadi berbuat dosa, tetapi dosa tersebut menyebabkannya masuk syurga.”
Orang yang mendengar bertanya,
“Bagaimana hal itu boleh berlaku?”
Dia menjawab,
“Dia berbuat suatu dosa, lalu dosa itu sentiasa terpampang di hadapannya. Dia khuatir, takut, menangis, menyesal dan berasa malu kepada Rabbnya, menundukkan kepala di hadapan-Nya dengan hati yang khusyuk. Maka dosa tersebut akan menjadi sebab kebahagiaan dan keberuntungan orang itu, sehingga dosa tersebut lebih bermanfaat baginya daripada ketaatan yang banyak."
(petikan dari majalah i November 2008)