Dua cinta ku serahkan padaMu
Cinta berkuntum hasil ingatanku padaMu
Dan cintaMu sejati kerana Kaulah kemuncak Cinta
PadaMu berpulang jua
Berkuntum dari inginku berpulang jua diriku
ingatanMu
Tidakku benarkan cintaMu tersasar
Peri datangMu bilamana Kau ingin tanpa waktu, sesuka hatiMu
Mengangkat tabir hatiku melihat kehadiranMu
Tiadalah puji dari aku padaMu, tiada puji dariMu padaku
Melainkan
Segala puji bagiMu jua yang ini dan yang itu…
Rehat hatiku wahai kawan hanya di dalam khalwah sunyi sendiriku
Dan di sini kasihku hadir bersama
Tiada ingin lagi ku pinta lebih dari kehadiranNya
Dan cinta KasihNya
Kerana cinta kasih padaNya aku diuji di maya fana
Di mana saja aku berada indah WajahNya bersama
Kiblatku DiriNya, tujuku HalaNya
Wahai mati aku kerana cinta jika cintaku tidak diterima
Kepada manusia aku hanya batangan keparat, binasa, hina, tiada berguna
Wahai Hakim sanubari, penawar segala kesakitan
Rindu berpulang padaMu jua
Gantikan hidup ini; benarkan aku merapatiMu
Biar hilang rasa rindu sehilangnya, biar sembuh luka hatiku hingga ke lubuknya
Wahai Dikau, cahaya riang hatiku, sinar hidupku, hanya kerana
Dikau adanya aku dan, kemabukan ceria hatiku
Ku palingkan wajah dari kejadian demi bersatu denganMu
Dari awal hingga ke akhir
Rangkaian Sastera Sufi, Baharuddin Ahmad, ISTAC IIUM


No comments:
Post a Comment