Bismillah…
Berkali-kali
menulis dan memadam. Banyak perkara yang bermain di fikiran.
“Mengadu
lah pada Allah”. Itu yang utama, yang sering saya dengar. Dan pernah juga
mengucapkan kata-kata itu kepada orang lain. Jika dahulu, sering berkongsi dan
merujuk sahabat-sahabat yang dipercayai, atau teman rapat untuk meluahkan isi
hati, kini beralih kepada teman hidup yang Allah hadiahkan.
“Jie
tak payah fikir lah semua tu. Benda kecik je. Kita ada banyak lagi urusan
penting dan hal-hal yang lebih besar untuk difikirkan, untuk dibuat”. Terdiam
mendengar bicara suami. Memang benar, banyak lagi keutamaan lain. Perempuan,
emosi. Suka memikirkan dan memberatkan perkara-perkara yang adakalanya remeh.
Tapi bukanlah bermaksud semua perempuan begitu.
Sukarnya
menjaga hati. Mengapa cepat benar perasaan terusik? Mengapa cepat benar kalah
dengan emosi? Mungkin disebabkan rapuhnya iman, dan rapuhnya hubungan dengan
Tuhan. Saya rapatkan tangan ke dada, merasai denyutan nadi. Diri ini amanah
Allah, milik Allah. Maka, carilah redha Allah, bukan penghargaan manusia.
Manusia
sering berkata dan mengata, lalu untuk apa bazirkan masa memikirkan kata-kata
manusia? Fikirlah apa yang Allah akan kata. Usah dirisaukan andai ada yang
membenci dan mengeji, tetapi risau dan takut lah andai Dia yang memurkai.
Berusaha untuk ‘puaskan hati’ pencipta, bukan puaskan hati yang dicipta.
Buat
ini silap, buat itu salah. Buat begini tak kena, buat begitu tak betul.
Manusia, manusia… Cek balik, kita sendiri pun ada yang tak berkenan dengan apa
yang orang buat kan? Jadi, perlukah komen dan kritik semuanya? Perlukan
mengharapkan mereka berubah seperti apa yang kita inginkan, seperti apa yang
kita mahu lihat baik dan cantik menurut pandangan kita? Sudah tentu tidak.
Kerana mereka tidak perlu menjadi seperti apa yang kita mahu, tetapi mereka
perlu menjadi seperti yang Allah mahu.
Kalaupun
mereka buat silap, lebih-lebih lagi berkaitan dosa dan pahala, itu urusan
mereka dengan Allah. Tugas kita cuma menasihati dan berdoa. Jangan pula rasa
diri kita lebih baik!
Jangan
sibuk mahu merawat hati orang lain, andai sebenarnya hati kita yang sedang
sakit. Rawatlah hati sendiri dahulu, tegurlah diri sendiri dahulu, ubahlah diri
sendiri dahulu. Perbuatan lebih senang untuk diikuti berbanding dengan ucapan.
Kenapa? Semua orang boleh bercakap, tapi bukan semua orang boleh buat. Fikir
dan nilai, dengan akal dan iman, bukan emosi dan perasaan.
Semoga
Allah redha.


No comments:
Post a Comment