Followers

Sunday, March 6, 2011

Tentang kekasih.

Melihat video ini di blog seorang sahabat menjadikan saya begitu sebak. Pandangan terasa kabur, pipi mula basah. Air mata mengalir tanpa henti.

Sayangnya manusia agung itu kepada kita. Begitu besar cintanya kepada kita.
Allahu Allah...izinkan aku bertemu dengannya di sana nanti...


Minggu lepas, seorang sahabat mengajak untuk ke ta'lim di luar. Hanya untuk muslimat. Saya bersetuju mengikut, sambil mengisi waktu lapang di hujung minggu. Katanya, ustazah Alina dari indonesia. Umurnya mungkin sebaya saya atau lebih muda. Tetapi ilmunya masyaallah...sangat mengagumkan. Lidahnya juga tidak putus-putus mengucap selawat kepada baginda rasulullah s.a.w.

Pertama kali memandangnya, saya terus terpesona. Ada sakinah yang terpancar di wajahnya. Bibirnya tak lekang dengan senyuman. Mata saya seakan tidak mahu lepas dari terus memandang wajah yang bersih itu. Sungguh, beliau sangat cantik! Bukan sekadar menutup wajah dengan niqab biasa, malah beliau memakai 'cadar' yang menutupi keseluruhan wajah dan mata.

"Kita tak punya solat yang banyak sehingga beribu rakaat, sehingga bengkak kaki. Kita tak punya puasa yang banyak sebagaimana para nabi dan sahabat. Kita juga tak punya bacaan Al-Qur'an yang banyak dan mengkhatamnya setiap hari. Namun dengan selawat ke atas baginda s.a.w mudah-mudahan mampu menjadi syafaat untuk kita di akhirat kelak."

Antara kata-kata beliau yang melekat di hati saya. Tidak sedikit para hadirin yang menangis mendengar kalam ustazah. Begitu lembut dan terkesan di jiwa. Kata-katanya tembus ke hati. Allah...

Firman Allah:

"Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya selawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya."

(Al-Ahzab: Ayat 56)

No comments: